Home Nasional Dewan Rakyat kecoh bila Rayer tanya serbuan ke atas Al Jazeera

Dewan Rakyat kecoh bila Rayer tanya serbuan ke atas Al Jazeera

RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Sesi petang sidang Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila ucapanĀ  penggulungan usul Titah Diraja yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diganggu Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen (Jelutong-PH), RSN Rayer berdiri beberapa minit untuk mencelah dan apabila diberi peluang oleh Hamzah beliau cuba membangkitkan mengenai pertanyaannya berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Mohamad Adib Mohamad Kassim.

Bagaimanapun, beliau mengambil maklum sekiranya Hamzah tidak mempunyai masa untuk menjawab mengenai perkara itu.

Rayer kemudiannya bertanyakan kepada Hamzah berkenaan kewajaran pihak berkuasa menyerbu pejabat agensi berita antarabangsa Al Jazeera di ibu negara hari ini.

Beliau mempersoalkan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat serbuan ke atas sebuah agensi berita hanya semata-mata kerana menyiarkan satu rencana yang patut dijadikan iktibar.

Beliau juga beranggapan tindakan itu menyekat kebebasan media dalam melaporkan sesuatu perkara.

Ahli Parlimen (Segambut-PH), Hannah Yeoh pula bingkas mencelah sambil mengemukakan peraturan mesyuarat agar Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said memberi tambahan masa kepada Hamzah berikutan kementeriannya banyak isu penting yang perlu dibincangkan.

Beliau memberikan alasan bahawa Kementerian Dalam Negeri merupakan sebuah kementerian yang sangat berat dan disebabkan tambahan masa perlu diberikan kepada menteri agar isu-isu berbangkit dapat dirungkai.

“Yang Berhormat, sepatutnya menteri habis (gulung) pukul 5.45 tadi. Saya yang berikan beliau masa 15 minit. Mungkin Yang Berhormat tak perasan.

“Saya minta maaf kerana ada dua lagi kementerian yang hendak menggulung. Dalam peraturan, menteri boleh menjawab secara bertulis,” kata Azalina.

Azalina kemudiannya menggesa semua ahli dewan untuk menghormati masa agar persidangan dapat berjalan dengan lancar. – MalaysiaGazette