Home Nasional Putrajaya tidak setuju pekerja asing diberi tugas barisan hadapan

Putrajaya tidak setuju pekerja asing diberi tugas barisan hadapan

Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak setuju untuk membenarkan pekerja asing  diambil sebagai pekerja barisan hadapan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada warga tempatan terutama golongan muda bekerja dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

“Setelah mengambil kira sektor sektor tertentu, kerajaan telah memastikan kita tidak akan membuka sektor-sektor untuk frontliner seperti mana kita hanya benarkan pekerja asing bekerja di stesen minyak sebagai pump attendant tetapi tidak benarkan pekerja asing bekerja di kaunter sebagai frontliner.

“Begitu juga kedai-kedai makan, kita benarkan pekerja asing sebagai tukang masak, tetapi dari segi frontlioner, kita masih perlukan warga tempatan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, kerajaan telah menjalankan beberapa usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di semua sektor pekerjaan termasuk sektor pembinaan dan pembuatan.

Ini dengan mewajibkan pengiklanan kekosongan jawatan untuk tempoh tidak
kurang dari 30 hari di Portal JobsMalaysia bagi tujuan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

“Sekiranya tiada pengisian dalam kalangan pencari kerja tempatan dalam tempoh tersebut, barulah majikan dibenarkan membuat permohonan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang. Inisiatif ini bermula pada 1 Julai lalu,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Tapah itu, inisiatif itu dilaksanakan supaya jawatan petugas barisan hadapan tidak dibenarkan kepada pekerja asing.

Malah semua Agensi Kawal Selia dimestikan untuk melaksanakan pelan penggantian bagi membolehkan sektor-sektor berintensifkan buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi sekaligus mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing. – MalaysiaGazette