Home Seni Hidup Big Stage: Siti berehat, Ajai, Dayang juri tetap

Big Stage: Siti berehat, Ajai, Dayang juri tetap

Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika melakukan persembahan pada SimplySiti Mini Konsert di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Program realiti hiburan popular, Big Stage kembali untuk musim ketiga tanpa penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai juri tetap.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, ketiadaan penyanyi nombor satu negara itu atas permintaan Siti ingin berehat buat seketika.

“Ini adalah permintaan daripada Siti Nurhaliza sendiri untuk berehat kerana seperti semua sedia maklum bahawa beliau sedang cuba untuk mendapatkan zuriat yang kedua, jadi kami hormat dengan keputusan beliau,” katanya.

Namun begitu, tugas sebagai juri tetap dikembalikan kepada Faizal Tahir yang pernah bersama Big Stage pada musim pertama.

Selain daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai juga dipertanggungjawabkan untuk menilai prestasi 12 peserta Big Stage untuk musim kali ini.

Pada masa sama, Emarina turut menyatakan Big Stage kali ini akan mengehadkan jumlah penonton semasa siaran langsung pada setiap minggu.

Program itu yang masih mengekalkan Alif Satar dan Sherry Al-Hadad akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam mulai 16 Ogos 2020.

Musim pertama dan kedua program itu telah melahirkan juara Sarah Suhairi dan Han Byul dari Korea. – MalaysiaGazette