KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendapat sindirian daripada beberapa anggota dewan kerana seolah-olah memberikan ‘ceramah’ ketika mencelah.
Bekas menteri kesihatan itu dilihat bercakap terlalu panjang ketika diberi laluan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Tindakan Dzulkefly itu mengundang pertanyaan kepada ahli dewan pro kerajaan yang mempersoalkan siapakan menteri yang sepatutnya berucap.
Menyedari tindakannya itu mengundang rasa tidak selesa kepada anggota Parlimen yang lain, Dzulkefly kemudiannya kembali ke tempat duduknya.
Bagaimanapun, Dzulkefly dilihat mengulangi perkara sama apabila beliau bangun mencelah untuk kali kedua berhubung isu sama.
Tindakan Dzulkefly itu telah menyebabkan Timbalan Yang Dipertua, Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman terus membuat teguran terhadapnya.
“Soalannya apa Yang Berhormat?” tegas Azalina menerusi tegurannya itu.
Dzulkifli kemudiannya dengan pantas bertanyakan mengenai peratusan ujian saringan Covid-19 yang pada pandangannya perlu dilakukan sebanyak mungkin.
Perkara itu telah membangkitkan rasa rimas Ahli Parlimen (Jempol-BN), Datuk Salim Shariff yang tidak berpuas hati kerana Dzulkefly masih mengambil masa terlalu panjang hingga mengambil waktu Menteri Kesihatan yang turut perlu menyentuh isu selain Covid-19.
Namun, Adham tetap mengambil sikap profesional apabila memberi pencerahan kepada soalan Dzulkefly dengan mengakui ujian saringan ketika ini banyak dilakukan makmal swasta melibatkan saringan pekerja oleh majikan. – MalaysiaGazette