KUALA LUMPUR – Sebuah parti baharu yang bermatlamat mahu meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia bakal diumum tidak lama lagi.
Parti baharu itu yang disebut sebagai Parti Ekonomi Rakyat Malaysia sudah didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Bagaimanapun, pengumuman secara rasmi parti itu belum dapat dilakukan pada masa ini kerana masih lagi mencari nama singkatan yang sesuai untuk digunakan, kata presiden parti itu yang enggan mendedahkan identititnya kerana terlalu awal.
“Insyaallah jika kita sudah dapat nama singkatan yang sesuai, akan diadakan sidang media khas bagi tujuan itu.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana kita ada matlamat besar iaitu mahu meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, apa yang boleh dikongsikan setakat ini adalah berkaitan logo parti yang mempunyai rekabentuk menunjukkan bulan separuh menjadi simbol agama Islam serta helang sebagai simbol keberanian dan ketegasan parti dalam prinsip dan dasar-dasar utamanya.
Katanya, taraf pertubuhan pada masa didaftarkan menggenakan tema kebangsaan dengan mengandungi slogan parti pada logo di lencana iaitu “bersama Membaikpulih Ekonomi Negara”.
Tambah beliau, ahli-ahli parti tersebut pada masa ini merupakan anggota pertubuhan yang diketuai olehnya.
Dengan melaraskan matlamat mahu memperjuangkan pembangunan ekonomi di Malaysia melalui inovatif demi kesejahteraan rakyat, parti tersebut berkemungkinan besar akan menjadi sebuah parti komponen dalam sebuah parti politik, katanya.
“Buat masa ini kita simpan dulu, tunggulah nanti akan tiba masa yang sesuai untuk kita umumkan,” ujarnya.
Katanya lagi, pada masa ini segala urusan parti dilakukan di ibu pejabat di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette