Home Nasional Harga produk tenusu naik 4 kali setahun

Harga produk tenusu naik 4 kali setahun

Produk-produk tenusu keluaran Fonterra

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga produk tenusu termasuk mentega beberapa kali dalam setahun bukan luar biasa.

Ini kerana, semua produk tenusu dinaikkan empat kali setahun kerana kenaikannya ditentu dan dikawal oleh badan antarabangsa, Fonterra Co-operative Group Limited.

Sebagai sebuah badan yang disertai oleh para peladang, mereka yang menentukan kenaikan harga produk tenusu, bukan negara-negara pengimport.

“Bukan sahaja harga mentega jenama Anchor sahaja yang naik, harga susu formula bayi pun naik dalam empat kali setahun,” kata seorang pemerhati industri.

Selain Anchor, katanya, Fonterra juga mengeluarkan jenama Anlene, Fernleaf, Anmum dan sebagainya.

Fonterra merupakan pengeluar susu terbesar dunia dan menguasai hampir 60 peratus pengeluaran susu dunia.

Kata pemerhati industri itu, Fonterra juga adalah pembekal susu mentah kepada syarikat-syarikat lain seperti Danone, Nestle, Dutch Lady dan lain-lain.

Tambah beliau, kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat juga menyumbang ke atas harga susu dan mentega.

“Jika nilai mata wang Amerika Syarikat mengukuh berbanding ringgit, maka kesan kenaikan memang dirasai dengan ketara,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan luahan tidak puas hati seorang pengusaha bakeri tentang kenaikan pelbagai harga keperluan bakeri daripada sekecil-kecil barang seperti pelbagai jenis esen, berbagai-bagai jenis tepung hinggalah mentega.

Pengusaha tersebut, Zalina Yahaya mendakwa kenaikan harga barangan asas bakeri sangat melampau kerana ia melibatkan bahan-bahan mentah.

Menurut Zalina, kenaikan harga mentega Anchor sebanyak tiga kali sejak awal tahun ini, memang menyakitkan hati kerana menyukarkan peniaga mengira kos dan menetapkan harga jualan.

Yang terbaru, beliau dimaklumkan ada perubahan dalam harga cream cheese tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melihat permasalahan itu kerana ia boleh menjejaskan mata pencarian pengusaha-pengusaha bakeri. – MalaysiaGazette