KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertimbangkan cadangan jawatan perdana menteri jika pakatan pembangkang memerintah negara ini semata-mata untuk meraih undi rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, Tun M itu menggunakan sejarah kecemerlangan beliau memimpin negara selama 22 tahun untuk meraih undi bagaimana usaha itu dilihat tidak akan berjaya kerana wujudnya perpecahan di dalam pakatan pembangkang.
“Pakatan pembangkang sendiri secara dasarnya masih belum kukuh bersama, masih tidak berlaku kesepaduan yang tidak mutlak.
“Hasrat itu bukan lonjakan mutlak atau bukan satu bentuk sokongan yang besar kepada pakatan pembangkang. Rakyat terutamanya Melayu masih lagi tidak lagi boleh terima Dr. M mahu bergabung dengan DAP.
“Malah PKR sendiri masih memberi sokongan meluas mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan bukannya Dr Mahathir,” kata Noor Yazid ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau juga berkata, adalah tidak logik untuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri negara ini berikutan usianya yang sudah menjangkau 92 tahun.
“Kedudukan Dr Mahathir dengan usia 90an, saya rasa agak lewat. Kita lihat Dr Mahathir pada kepimpinan memang cemerlang secara umum tetapi dia tidak boleh lahirkan genarasi pelapis.
“Tiada ada kepimpinan yang boleh diwariskan mahupun melahirkan seorang pemimpin di bawahnya. Kekuatan dia bukan satu kekuatan demokratik sebaliknya lebih kepada autokratik,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak pasti setakat mana seriusnya bapanya tentang memegang jawatan perdana menteri.
Beliau sendiri tidak tahu sama ada Dr Mahathir hanya bergurau atau serius mengenai jawatan perdana menteri itu.
“Saya tidak tahu. Anda beritahu saya. Melihat pada laporan media pada tajuk yang bercanggah, saya tidak tahu yang mana satu nak percaya.
“Sesetengah daripada anda berkata beliau telah kata tidak, sesetengah kata beliau kata mungkin, dan ada yang berkata (beliau kata) ya. Saya keliru dengan pemberita,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysiakini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, PPBM masih belum membuat keputusan mengenai calonnya untuk jawatan perdana menteri.
Dalam sesi langsung Facebook sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi jika pakatan pembangkang merancang sedemikian.
“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam pakatan harapan. Kalau mereka mempunyai cadangan seperti itu dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangkannya,” katanya. – MalaysiaGazette.