Home Utama Gangguan mental mungkin punca buli

Gangguan mental mungkin punca buli

Dr. Rusdi Abd Rashid

KUALA LUMPUR – Ada kemungkinan individu yang suka membuli mengalami masalah atau gangguan mental.

Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abd Rashid berkata, sikap buli tidak berlaku tanpa sebab kerana ia melibatkan emosi seseorang dan sesiapa sahaja cenderung jadi pembuli.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, biasanya pembuli mempunyai pengalaman dibuli atau mengalami tekanan perasaan terhadap kejadian yang melibatkan diri dan persekitarannya.

“Masalah mungkin bermula dari rumah disebabkan pelbagai faktor termasuk sosial dan ekonomi hingga menjejaskan emosi anak. Tekanan perasaan yang tidak diluahkan atau dirawat boleh terbawa-bawa ketika berada di luar rumah sehingga mendorong menjadi pembuli.

“Atau pembuli ini pernah menjadi mangsa buli dan melempiaskan dendamnya kepada individu lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu, Dr Rusdi menyarankan ibu bapa perlu memantau perkembangan anak masing-masing di rumah terutama jika anak-anak menunjukkan perubahan sikap dan sifat mereka.

Katanya, anak-anak yang mengalami tekanan akan menghadapi kemurungan, hiperaktif, baran dan suka melihat orang lain dianiya.

Di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi pula, program orientasi atau indusksi perlu dipantau supaya gejala buli membuli tidak berlaku dalam kalangan senior kepada junior.

Dr. Rusdi berkata, jika perkara itu berlaku, ia boleh mendorong pembuli lebih ganas sehingga hilang pertimbangan.

“Mungkin itulah yang berlaku dalam kes-kes buli sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah mangsa yang dibuli,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Sains Penagihan Universiti Malaya melahirkan kebimbangan mengenai kes buli yang semakin banyak dilaporkan berlaku dalam media sosial menyifatkan perkembangan ini tidak sihat.

Ini kerana, kejadian-kejadian berkenaan boleh mendorong individu lain terpengaruh dan melakukan perkara yang sama dan akhirnya gejala buli berleluasa.

“Selain ibu bapa, guru, pensyarah dan rakan-rakan juga perlu memainkan peranan, bukan sahaja memantau gerak-geri pembuli tetapi mangsa yang dibuli,” tambah beliau.

Mangsa yang dibuli biasanya akan mengalami perubahan mendadak – lebih pendiam, suka menyendiri, kerap meminta maaf, agresif secara tiba-tiba, sensitif dan prestasi pembelajaran merosot.

“Jika perubahan berlaku pada anak-anak – sama ada sebagai pembuli atau mangsa buli, beri rawatan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette