Home Ek Kata Che Pah? Sekarang televisyen rosak terus ke tong sampah

Sekarang televisyen rosak terus ke tong sampah

Foto hiasan

Marhaba… Kala menyelak gambar dalam telefon bimbit saya, mata Che Pah tertarik dengan gambar televisyen lama ini.

Terus fikiran Che Pah mengimbau sebuah kisah lama. Kisah yang mana televisyen diiktiraf sebagai barangan mewah waktu itu.

Che Pah hidup sekitar tahun 70an dan awal 80 an. Waktu itu televisyen atau TV masih lagi hitam putih. Tiada berwarna seperti sekarang.

TV waktu itu seperti sebuah peti. Besar, panjang serta berkaki. Diperbuat dari kayu luarnya. Siap ada pintu lagi.

Beratnya Ya Rabbi. Tuhan saja yang tahu. Dulu hanya rumah tertentu sahaja yang meliliki TV. Tidak semua yang mampu. Maklum, harga pun agak mahal.

TV di rumah Che Pah sebiji seperti di dalam gambar ini. Banyak jasa TV hitam putih ini buat kami adik beradik. Dialah penghibur kami. Hanya ada dua saluran iaitu RTM1 dan RTM2.

Itulah sahaja yang ada. Nak ada beratus ratus saluran seperti sekarang, jangan mimpilah. Kami pun tidak pernah terfikir satu hari nanti dapat menonton beratus ratus saluran seperti sekarang.

Namun walau ada dua saluran, kami puas. Kami dapat menonton macam macam rancangan. Waktu itu program tv tak banyak.

Antara yang masih saya ingat program kanak kanak Bersama Pak Wazata Zain, Cumi Ciki dan beberapa program kartun seperti Mickey Mouse.

Malam Jumaat kami dihidangkan pula dengan filem Melayu. Ada cerita P Ramlee. Syok betul kami.

Pada hari Ahad malam pula ada Drama Minggu Ini. Wahh, seronok sangat rasa. Duduk depan TV siap dengan kacang. Macam pergi tengok wayang kami adik beradik.

Akan tetapi TV dulu selalu sahaja ada gangguan. Tengah sedap sedap tengok tiba tiba keluar iklan MAAF RANCANGAN TERGENDALA SEBENTAR. Frust betul. Tergelak kalau diingatkan sekarang.

TV dulu tiada remote control. Mahu tukar rancangan maka kenalah berjalan pergi dekat TV dan putar sendiri tombol menukar rancangan tersebut.

Nak kuat atau perlahankan suara pun kena bergerak. Bukan seperti sekarang, duduk melingkar atas sofa dan tak perlu bergerak.

Namun kini baru Che Pah sedar bahawa teknologi canggih sekarang membuatkan kita jadi malas hendak bergerak.

Menurut seorang pakar yang Che Pah ikuti tips kesihatannya di YouTube, pergerakan tidak sengaja seperti ini semakin kurang dilakukan. Ini antara faktor yang membuat manusia semakin malas.

Paling unik TV dulu ni bukan sahaja jadi sebagai alat hiburan malah turut menjadi bahan dekorasi di rumah.

Biasanya sesudah tengok TV, Che Pah akan tutup rapat rapat pintunya. Atas TV pula Che Pah alas dengan alas yang Umi kait dari benang. Popular alas TV ini dulu.

Kemudian akan diletak pula bunga hiasan dan pelbagai hiasan lain di atas peti TV. Inilah istimewanya TV dulu.

Umi biasanya bising kalau menonton TV terlalu lama. Nanti panas TV kata Umi. Nanti cepat rosak. Umi suruh tutup dulu dan biarkan sejuk. Baru buka balik. Begitu orang dulu menghargai barang. Bukan mudah nak dapat. Mahal.

Dulu TV jika rosak boleh dihantar untuk diperbaiki. Banyak kedai baiki TV dulu. Sekarang tak jumpa kedai baiki TV. Jika TV rosak maka ke tong sampah jawapnya.

Hairan ya. Beli mahal mahal. Pakai tak sampai setahun dua sudah rosak. Lepas itu tidak boleh dibaiki. Beli baru. Seolah tiada nilai duit sekarang.

Masa tengok TV, sekali lagi mulut Umi berkicau.. Jangan dekat dekat sangat tengok tu.. Nanti rosak mata. Itulah halwa telinga kami setiap kali tengok TV.

Bila diingatkan balik sekarang ini, sedih rasa hati. Kini tiada lagi mulut yang berkicau minta kami tengok TV jauh jauh sikit. Nasihat itu sangat berguna buat kami.

Pernah berlaku satu kejadian agak sedih buat kami. TV kami rosak beberapa hari sebelum Hari Raya.

Aduhh susahnya hati kami. Hari Raya hari paling best tengok TV. Macam macam rancangan ada.

Nak dibetulkan bukannya boleh siap sebelum raya. Nak beli baru, harga bukannya murah.

Namun Alhamdulillah Allah mendengar doa kami. Nenek saudara saya Hababah Lok Lok serta datuk saudara saya Habib Hussein seolah faham keadaan kami yang agak susah waktu itu.

Mereka dengar masalah TV di rumah kami yang rosak. Lantas diminta salah seorang anaknya iaitu Ami Ahmad yang mesra dipanggil Ami Ahmad Aden yang juga bapa saudara saya untuk menghantar TV yang kebetulan ada lebih di rumah mereka ke rumah kami.

Pada mulanya Walid menyatakan hasrat untuk membeli dan membayar ansuran. Namun Hababah Lok Lok serta Habib Hussein bertegas tidak mahu menjual.

Mereka beri percuma kepada kami. Masih terngiang ngiang ditelinga Che Pah kata kata Hababah Lok Lok dan Habib Hussein.

“Bukan untuk orang lain.. Untuk anak cucu juga.. Kesian cucu cucu nak tengok TV”, itulah antara bait kata yang ikhlas terpacul dari mulut mereka.

Jasa ini Che Pah kenang sampai hari ini. Masih tersemat kemas dalam ingatan Che Pah. Itulah kasih sayang yang tiada tolok bandingannya.

Che Pah takkan pernah lupa jasa Habib Hussein dan Hababah Lok Lok. Mereka berdua sudah lama tiada. Tetapi kenangan bersama mereka di rumah Parit Setongkat, Muar masih kukuh dalam kenangan.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua.

Kini keadaan banyak berbeza. TV sudah semakin canghih teknologinya. Sudah berbentuk pipih dan nipis. Ringan pula utk dibawa.

Saluran TV jangan cerita lagi. Banyak yang amat. Ada Netflix. Ada Iflix. Ada Astro. Ada Mytv. Itu tak termasuk lagi dengan beribu program melalui YouTube.

Namun Che Pah tengok TV sudah semakin pudar fungsinya. Kebanyakan kita sekarang lebih menumpu kepada telefon pintar.

Boleh dikatakan semua saluran TV sekarang punya saluran YouTube masing masing. Tengok berita semasa pun melalui telefon. Lebih cepat.

Namun kisah TV bagi mereka yang seusia Che Pah takkan pernah Luput dari ingatan
TV merupakan lambang kasih dan sayang buat kami.

1 Komen

Comments are closed.