KERAJAAN perlu memastikan jumlah pengangguran kalangan golongan belia dalam negara kita adalah terkawal dan tidak berlaku dalam kadar yang serius lebih- lebih lagi akibat daripada penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19) yang berlaku pada masa kini. Pengangguran dalam kalangan golongan belia tidak boleh dibenarkan untuk berterusan berlaku dalam negara kita kerana mereka adalah golongan yang bakal mewarisi negara kita daripada generasi yang ada pada masa kini. Penularan virus Covid-19 telah banyak memberi kesan kepada kehidupan semua pihak bukan sahaja dalam Malaysia, malah kehidupan semua orang dalam dunia. Ramai orang yang telah dilaporkan kehilangan pekerjaan pada ketika ini. Bahkan, negara paling maju dalam dunia iaitu Amerika Syarikat pun telah melaporkan jumlah kadar pengangguran tertinggi dalam sejarah negara mereka dengan jumlah pengangguran lebih 40 juta orang.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak di beberapa buah negara antara golongan yang paling terjejas teruk akibat daripada penularan virus Covid-19 adalah golongan belia yang berada dibawah usia 30 tahun. Ini adalah kerana golongan berkenaan belum lagi memiliki kestabilan kewangan dalam hidup kerana baru memulakan pekerjaan ataupun masih belum bekerja. Ini berbeza dengan golongan yang sudah berumur yang rata- ratanya sudah pun memiliki pekerjaan serta sumber pendapatan dan simpanan yang agak mencukupi bagi menghadapi waktu-waktu sukar buat sementara waktu.
Isu pengangguran dikalangan golongan belia ini bukan sahaja berlaku akibat daripada penularan virus Covid-19 ini. Isu ini sudah lama berlaku dalam negara kita atas faktor-faktor lain seperti faktor kurangnya aspek kemahiran tertentu dalam kalangan golongan berkenaan seperti penguasaan bahasa Inggeris, faktor ketidakbolehan pasaran graduan akibat
daripada permintaan yang rendah daripada pihak majikan untuk kursus yang telah diambil oleh graduan berkenaan, serta faktor terlalu memilih pekerjaan dikalangan golongan terbabit. Isu pengangguran dikalangan golongan belia tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ia boleh memberi kesan buruk yang serius bukan sahaja terhadap diri belia itu sahaja malah terhadap masyarakat dan negara.
Golongan belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapat untuk diri mereka serta bagi menampung keluarga mereka. Golongan belia ini juga khususnya mereka
yang baru tamat proses pengajian di peringkat universiti perlu mendapat sumber wang bagi membayar kembali pinjaman pendidikan yang mereka miliki. Isu pekerjaan dalam kalangan golongan belia ini juga penting supaya golongan ini tidak berhijrah meninggalkan negara ini untuk mencari kerja di negara lain sehingga berlakunya brain drain atau kehilangan sumber manusia yang berkualiti dalam negara kita.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak termasuk golongan belia itu sendiri mengambil segala usaha dan langkah bagi memastikan isu pengangguran kalangan golongan belia ini tidak berterusan berlaku dalam negara kita atau meningkat dengan mendadak lebih- lebih lagi akibat daripada penularan virus Covid-19 ini. Pihak kerajaan perlu merangka satu polisi yang lebih jelas serta khusus bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia ini. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bekerjasama bagi memberi pendedahan awal kepada semua golongan belia dalam negara kita mengenai peluang- peluang pekerjaan yang wujud dalam negara kita. Pendedahan mengenai perkara ini perlu dilakukan dari peringkat awal lagi iaitu diperingkat sekolah supaya golongan belia ini dapat mengambil segala langkah yang perlu bersiap sedia menghadapi dunia pekerjaan setelah mereka tamat proses persekolahan ataupun proses pengajian kelak.
Golongan belia ini juga harus dilatih untuk memiliki banyak kemahiran- kemahiran asas selain daripada ilmu teori supaya mereka dapat menggunakan segala ilmu kemahiran yang dimiliki
untuk dijadikan sumber pendapatan buat mereka kelak. Subjek kemahiran hidup yang diajar di peringkat sekolah menengah perlu diperkuatkan lagi supaya setiap pelajar dalam negara kita dapat mengasah aspek kemahiran hidup untuk diri mereka. Golongan belia juga perlu digalakkan menyambung pengajian mereka di institusi – institusi latihan dan kemahiran termasuklah sekolah dan kolej vokasional selain daripada berpusu -pusu untuk menyambung pengajian di peringkat universiti. Pandangan serong sesetengah pihak terhadap sektor latihan, kemahiran dan vokasional perlu diketepikan kerana sektor- sektor ini boleh memberi peluang pekerjaan yang banyak terhadap golongan belia ini.
Bukan sahaja sektor ini menyediakan peluang pekerjaan, sektor-sektor ini juga boleh memberi ruang kepada golongan belia ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain. Antara contoh bidang yang boleh diceburi adalah bidang kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, perdagangan, pengurusan makanan, sains pertanian, bidang fesyen, seni kecantikan, pengurusan ladang, pengurusan perniagaan, bakeri, pengaturcaraan komputer, pengurusan teknologi pejabat, hortikultur hiasan dan lanskap dan lain- lain lagi.
Pada masa yang sama juga pihak kerajaan perlu melihat kembali polisi pengambilan pekerja asing dalam negara kita. Memandangkan negara kini sedang hadapi pelbagai
masalah akibat daripada penularan virus Covid-19, adalah penting supaya sektor- sektor pekerjaan yang ada dalam negara ini termasuk dalam sektor 3D (Kotor, susah, dan bahaya)
diberikan kepada warga tempatan bagi mengelakkan isu pengangguran terutamanya isu pengangguran kalangan golongan belia ini berterusan berlaku.
Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)