Kuala Lumpur hari ini disahkan sebagai hentian seterusnya buat Liverpool Football Club (LFC) World yang bakal membawa pemain kelab itu lebih dekat dengan peminat-peminat di seluruh dunia.
Setelah kejayaan bertemu dengan 20,000 peminat selama enam hari di Singapura, LFC World yang dibawakan oleh Standard Chatered akan menuju ke IOI City Mall di Kuala Lumpur bermula 13 hingga 18 Disember ini.
Siri kedua Jelajah LFC World itu akan membawa bersama sebuah muzium mini yang akan membawa peminat satu langkah lebih dekat ke Anfield.
“Ini akan memberi peluang kepada peminat di Malaysia untuk mencuba cabaran bolasepak yang interaktif dan menyeronokkan yang akan bakal menghidupkan suasana kemeriahan Liga Perdana Inggeris.
“Terdapat juga ruang permainan video yang bakal dianjurkan oleh rakan rasmi permainan video LFC yang juga rakan sokongan LFC World, Konami,” kata satu kenyataan hari ini.
Peminat Reds di Malaysia akan beroleh peluang sekali seumur hidup bertemu dengan beberapa bekas pemain terbaik kelab dengan kehadiran tiga orang lagenda Liverpool FC iaitu Patrik Berger, Vladimír Šmicer and Robbie Fowler yang akan menemui peminat dan menandatangani autograf sepanjang program itu.
Peminat-peminat bola sepak dan teknologi boleh merasai pengalaman “Inside Anfield” – satu teknologi realiti maya terkini untuk meninjau suasana di Anfield.
Dengan bantuan alat dengar dan fon telinga, kandungan maya itu mampu membawa peminat pengalaman sebagai pemain serta perasaan dalaman yang unik ketika bersama pasukan.
Peminat juga boleh merasi pengalaman mendengar pesanan pasukan dari Jürgen Klopp di dalam bilik persalinan dan berjalan keluar dari terowong pemain di hadapan peminat di Anfield.
LFC World juga menyediakan aktiviti-aktiviti menarik dengan kerjasama dari syarikat penerbangan rasmi LFC yang juga rakan sokongan LFC World, Malaysia Airlines dengan mengadakan pertandingan yang menawarkan pengalaman berharga LFC World termasuk sarapan pagi bersama lagenda LFC, baju LFC yang ditandatangani dan peluang keemasan sekali dalam hidup untuk mempelajari teknik mengambil sepakan penalti dari penyerang dengan tiga kejuaraan, Robbie Fowler.
“Malaysia merupakan destinasi yang istimewa buat Kelab. Peminat di sini adalah diantara yang paling ghairah tentang kelab, oleh itu amat hebat untuk kembali ke sana dengan membawakan pengalaman yang interaktif yang direka khas buat peminat di Malaysia untuk mereka mengenali kelab dengan lebih dekat.
“Saya amat berharap dapat bertemu seberapa ramai peminat yang mungkin di LFC World di Kuala Lumpur,” kata Duta LFC, Robbie Fowler dalam kenyataan yang sama.
Bagi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Mahendra Gursahani pula memberitahu, LFC World menawarkan pengalaman interaktif yang unik buat peminat LFC dan rakyat Malaysia dengan membawa Anfield ke Kuala Lumpur melalui realiti maya.
‘Ini sesungguhnya pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan kami berbangga dapat membawa pelanggan kami yang bernilai ini, kakitangan dan keluarga mereka ke Malaysia.
“Saya menjemput semua untuk menyertai kami di LFC World Disember ini,” ujarnya.–MalaysiaGazette