KUALA LUMPUR – Indeks Volum Perkhidmatan mengalami penurunan 21.5 peratus kepada 99.3 mata pada suku tahun kedua 2020 berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Ia merupakan kejatuhan terendah berpunca dari pandemik Covid-19 yang mempunyai kesan negatif yang signifikan terhadap industri perkhidmatan pada suku kedua 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penyumbang utama kepada kejatuhan sektor perkhidmatan pada suku tahun kedua 2020 adalah dipengaruhi oleh Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan dan Minuman dan Penginapan, negatif 26.4 peratus dan Segmen Perkhidmatan Lain, negatif 41.2 peratus.
Indeks volum pelarasan musim bagi segmen ini turut mengalami kemerosotan 22.0 peratus kepada 100.0 mata berbanding suku tahun sebelumnya, diikuti
kejatuhan indeks volum bagi Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan disebabkan oleh subsektor penginapan, negatif 78.8 peratus dan subsektor makanan & minuman, negatif 31.7 peratus.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kejatuhan Indeks Volum Perkhidmatan pada suku tahun kedua 2020 ini selari dengan penutupan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 hingga Fasa 4 bermula dari 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020.
Pelaksanaan pakej rangsangan dan rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek untuk mengurangkan kesan Covid-19 dijangka meredakan kelembapan ekonomi dan ekonomi secara beransur-ansur meningkat pada suku tahunan akan datang, ujarnya. – MalaysiaGazette