KUALA LUMPUR – Tiada bahagian yang terbubar ekoran tindakan sebilangan kecil ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti baru-baru ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu pembubaran itu tidak timbul kerana bahagian berkenaan masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Katanya, mengikut perlembagaan parti, ahli jawatan kuasa (AJK) yang berhenti atau diberhentikan, tidak menyebabkan bahagian terbabit terbubar kerana MPT boleh melantik atau memastikan bahagian itu tetap wujud.
“Jadi tidak timbul isu terbubar kerana yang berhenti adalah AJK bahagian dan MPT berkuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian bagi mengadakan pelantikan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Media di bangunan Parlimen, hari ini.
Baru-baru ini, sejumlah kecil pemimpin termasuk ketua bahagian dan AJK parti khususnya di Selangor mengumumkan keluar parti dipercayai mahu menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) menganggap mereka yang keluar daripada parti itu merupakan golongan terpencil.
Malah beliau berkata, sebahagian besar ahli parti itu masih setia dan berdiri teguh bersama dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana parti itu tetap berpegang kepada perjuangannya sewaktu ditubuhkan.
Ditanya wartawan berhubung cadangan penubuhan parti baharu oleh bekas Pengerusi Pakatan Harapan, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, Dr Mahathir berbuat demikian kerana bimbang dan mula berasa goyang dengan usaha memperkasakan Bersatu yang dilakukan oleh Muhyiddin.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu bersedia meminda Perlembagaannya bagi memansuhkan jawatan Pengerusi sebagai usaha memantapkan lagi parti.
Ujarnya, masalah yang dihadapi Bersatu sekarang adalah berpunca dari situasi di mana terdapat ‘dua nakhoda dalam satu kapal’ sama.
“Kita sudah nampak masalahnya, hanya perlu seorang nakhoda dalam sebuah kapal. (Kalau perlu) kita akan hapuskan jawatan (pengerusi) itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette