KUALA LUMPUR – Pemerkasaan agenda bumiputera di negara ini perlu pelaksanaan strategi dan inisiatif yang berani serta radikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu perlu digembleng agar lonjakan berganda mengubah landskap ekonomi bumiputera.
Beliau berkata, penyertaan bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi dan berpotensi serta mempunyai nilai ditambah tinggi juga akan dipertingkatkan.
“Secara keseluruhannya, penekanan utama kerajaan dalam pemerkasaan bumiputera akan diterjemahkan melalui penggubalan dasar, strategi dan inisiatif yang akan digarap secara terperinci melalui penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang diPertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Mustapa menambah, kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Katanya, kewujudan MKB itu adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Katanya lagi, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), sebagai agensi penyelaras tunggal pembangunan bumiputera juga diperkukuhkan sebagai sebuah badan koordinasi di peringkat tertinggi bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi bumiputera serta mempertingkatkan kualiti perancangan dasar dan intervensi strategik. – MalaysiaGazette