BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini menjadi tumpuan sejak awal pagi berikutan pendakwaan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Malah para pengamal media yang mencecah 50 orang tampil lebih awal berikutan pengumuman pihak berkuasa yang akan mengeluarkan pas khas pada bilangan yang terhad.
Perkara ini juga mungkin sesuatu yang tidak boleh dielakkan memandangkan terdapat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang memerlukan penjarakkan fizikal diamalkan.
Namun keadaan agak tidak terkawal sehingga mengundang campur tangan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor bagi meredakan keadaan memandangkan hanya terdapat 10 pas media yang disediakan.
Setelah berbincang, akhirnya 20 pas diberikan namun dengan syarat pengamal media perlu mengamalkan menjaga penjarakan fizikal.
Bagi yang tidak mempunyai pas, mereka dibenarkan berada di lobi dan jurugambar dan juruvideo dibenarkan ke tingkat atas untuk menjalankan tugas masing-masing.
Yang lain-lain pula perlu berada di luar pintu masuk mahkamah sehingga prosiding Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri ketika beliau masih lagi menjawat jawatan Ketua Menteri selesai.
Guan Eng yang ditemani isteri, Betty menaiki Proton X-70 berwarna coklat tiba pada pukul 8.50 pagi, iaitu 10 minit sebelum prosiding kes pendakwaan bermula.
Selain Betty, Guan Eng juga di temani hampir kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya, adik serta anak lelaki beliau.
Turut serta ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Timbalannya, P Ramasamy.
Beliau sempat melambaikan tangan kepada penyokong serta media dengan wajah serius namun tenang.
Sejurus selepas itu, penyokong beliau mula tiba dalam kumpulan kecil kemudiannya menjadi lebih besar.
Masing-masing memakai t-shirt solidarati, gelang tangan berwarna kuning selain memegang kain rentang yang memaparkan wajah Guan Eng sambil melaungkan kata-kata semangat untuk Setiausaha Agung DAP itu.
Walaupun pihak berkuasa seperti polis sudah menasihati DAP supaya penyokongnya tidak hadir ke mahkamah, namun masih ramai yang muncul malah satu ketika tiada penjarakkan fizikal walapun masing-masing memakai pelitup muka.
Ketika kumpulan itu sedang berteriak menyatakan sokongan, tiba-tiba muncul pula seorang lelaki warga emas Melayu yang meminta mereka berhenti membela Guan Eng.
“Dia perompak, mengapa kamu semua sokong dia?,” soalnya dengan lantang.
Persoalan itu dibalas kembali penyokongnya yang akan setia kepada Guan Eng tidak kira apa jua yang berlaku.
Bagaimanapun beberapa anggota polis kemudian menghentikan perbuatan lelaki itu sebelum memintanya keluar dari kawasan tersebut sebelum sesuatu tidak diingini berlaku.
Selang beberapa minit, seorang penyokong juga dipercayai ‘bodyguard’ Guan Eng cuba bersemuka dengan lelaki itu sebelum ditenangkan beberapa pemimpin DAP yang turut berada di situ.
Ketika MalaysiaGazette cuba mendekati lelaki itu, dia mengenalkan dirinya sebagai Zamri dari Jelutong sambil melahirkan rasa tidak puas dengan Guan Eng.
“Semua rakyat di negeri ini susah masa jadi Ketua Menteri dulu, ini pula projek berbilion. Sakit hati, mengapa bela orang sebegini,” katanya sambil berlalu.
Tiodak lama selepas itu, kekecohan tercetus sekali lagi apabila seorang wartawan akhbar Cina ditahan polis kerana membawa dron untuk merakamkan keadaan sekeliling.
Walaupun wartawan itu cuba menjelaskan tindakannya namun beliau tetap ditahan untuk soal siasat dan keretanya diperiksa selain dron itu dirampas.
Menurut polis, sememangnya orang awam tidak dibenarkan menerbangkan dron di sekitar bangunan kerajaan.
Polis juga terpaksa menggunakan pembesar suara untuk terus memberi peringatan dari masa ke semasa kepada media, penyokong Guan Eng dan orang ramai supaya melakukan penjarakan fizikal atau kompaun dikenakan.
Pada Jumaat lepas Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Mengikut pertuduhan Guan Eng hari ini, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion itu.
Esok perkarangan mahkamah ini jadi tumpuan kembali kerana Guan Eng dan Betty akan didakwa sekali lagi. – MalaysiaGazette