BEIRUT – Perdana Menteri Lubnan dan barisan Kabinetnya mengumumkan peletakan jawatan susulan letupan dahsyat yang menghancurkan sebahagian besar bandar raya Beirut pada minggu lalu.
Hassan Diab melepaskan jawatan ketika rakyat Beirut melakukan protes besar-besaran dan mendakwa tragedi yang berlaku akibat salah pengurusan dan perbuatan rasuah.
Dalam ucapan ringkas yang disiarkan menerusi televisyen, Diab mengumumkan peletakan jawatan dan akan berjuang bersama-sama rakyat untuk melakukan perubahan secara bersama.
Malah, beliau menyokong gesaan rakyat supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
Diab membuat pengumuman itu selepas Kabinet yang dibentuk pada Januari lalu yang disokong oleh kumpulan Hezbollah yang disokong oleh Iran bertemu pada hari Isnin.
Dalam pertemuan itu ramai menteri menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan.
Sabtu lalu, Diab menyatakan akan meminta pemilihan Parlimen lebih awal.
Dalam kejadian letupan di gudang pelabuhan pada 4 Ogos lalu, lebih 2,000 tan ammonium nitrat meletup dan mengorbankan 163 orang.
Tragedi itu turut mencederakan lebih 6,000 orang dan memusnahkan bandar itu ketika negara tersebut dibelenggu dengan isu politik dan ekonomi.
Menteri Kewangan Ghazi Wazni, perunding utama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai rancangan menyelamat untuk membantu Lubnan keluar dari krisis kewangan, dikatakan sudah membawa surat peletakan jawatan ke mesyuarat Kabinet.
Menteri Alam Sekitar dan Makluat telah melepaskan jawatan pada hari Ahad dan beberapa pembuat dasar serta Menteri Kehakiman juga berbuat demikian pada hari Isnin.
“Seluruh rejim perlu diubah. Tidak ada bezanya jika ada pemerintahan baru. Kami memerlukan pilihan raya yang cepat,” kata Joe Haddad, seorang jurutera, kepada Reuters.
Seorang penduduk berkata, ekonomi sekarang sudah menjadi bencana dan sekarang saya perlu membuat duit semula, sebenarnya lebih mudah semasa perang.
”Ahli politik dan ekonomi telah memusnahkan semuanya,” ujarnya.
Apa yang pasti kebanyakan rakyat Luban skeptikal dengan kemungkinan berlaku sebarang perubahan yang mana politik mazhab telah mendominasi negara itu sejak konflik 975-90. – MalaysiaGazette