KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntuk dana berjumlah
RM874.7 juta bagi membaikpulih infrastruktur landasan di sektor Pantai Timur.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dana berjumlah RM778.0 juta dibagikan bagi membaikpulih infrastruktur landasan untuk sektor Gemas ke Tumpat dan RM96.7 juta bagi program pemulihan stesen serta lain-lain infrastruktur keretapi yang terjejas akibat musibah banjir besar yang telah melanda Pantai Timur pada tahun 2014.
Katanya, keseluruhan kerja bagi membaikpulih infrastruktur landasan di sektor Pantai Timur itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2021.
“Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, kerajaan sedang memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaiktaraf serta membaikpulih kerosakan yang dialami oleh rangkaian keretapi bagi jajaran Gemas – Tumpat termasuk kerosakan akibat bencana banjir pada penghujung tahun 2014.
“Banjir yang melanda sektor Pantai Timur pada 22 Disember 2014
telah mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur landasan, peralatan persemboyanan dan juga jentera penyelenggara landasan yang telah ditenggelami air
“Antara kerosakan infrastruktur landasan yang dialami adalah tanah runtuh, landasan terhakis dan ditenggelami air serta jambatan keretapi yang telah dihanyutkan air,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas), Ahmad Fadhli Shaari yang bertanya bilakah perkhidmatan keretapi terus dari Tumpat, Kelantan melalui Pasir Mas, Tanah Merah seterusnya ke Kuala Lumpur dan sebaliknya dapat beroperasi semula selepas ditiadakan bermula tahun 2014.
Dalam perkembangan berkaitan Ka Siong berkata, kemajuan projek pemulihan landasan dari Gemas hingga Mentakab oleh syarikat Hikmat Asia Sdn. Bhd. yang menggunakan kos sebanyak RM216.9 juta sehingga Julai adalah adalah 86.44 peratus.
Bagi pemulihan landasan dari Mentakab hingga Gua Musang oleh
syarikat Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. dengan kos RM259.7
juta pula, kemajuan projek sehingga Julai adalah 97.08 peratus.
Manakala, pemulihan landasan dari Gua Musang hingga ke Tumpat oleh syarikat Emrail Sdn. Bhd. dengan kos RM301.4 juta pula sehingga Julai adalah 75.0 peratus.
“Kerajaan bersedia untuk menimbang pembukaan semula perkhidmatan keretapi ekspress daripada Kuala Lumpur ke Tumpat setelah projek baikpulih dan naiktaraf ini selesai sekiranya terdapat keperluan dan permintaan tinggi serta ketersediaan set-set tren yang boleh beroperasi di sektor tersebut.
“Sebagai alternatif, pengguna masih boleh memilih untuk menggunakan keretapi sebagai pengangkutan daripada Kuala Lumpur ke Tumpat dengan menaiki ETS dari Kuala Lumpur ke Gemas seterusnya menaiki perkhidmatan tren Antarabandar dari Gemas ke Tumpat,” ujarnya. – MalaysiaGazette