Home Nasional Graduan UEC hanya untuk guru Bahasa Cina – Radzi

Graduan UEC hanya untuk guru Bahasa Cina – Radzi

Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR – Kemasukan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah untuk memenuhi keperluan dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, program itu sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2011 dan diteruskan ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Program yang disebut Yang Berhormat Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik) itu sudah bermula sejak tahun 2011 dan pada waktu Yang Berhormat menjadi menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.

“Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar kelulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maszlee yang ingin tahu sama ada kerajaan mengiktiraf secara sebahagian lulusan UEC berikutan terdapat pengambilan graduan sijil berkenaan untuk memasuki IPG.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kerajaan pada tahun 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya kepujian dalam bahasa Melayu.

Menjawab soalan asal Maszlee mengenai inisiatif terkini kementerian dalam menjaga dan meningkatkan kualiti PISMP, Radzi berkata, kerajaan sentiasa komited memperkasakan pendidikan guru bagi melahirkan guru yang terlatih dan kompeten.

“Antara usaha yang dilaksanakan adalah memperkukuhkan PISMP di IPG. Ini turut membabitkan aspek pemilihan calon dan kurikulum.

“Melalui program ini, kementerian akan dapat menyediakan guru yang berkualiti untuk meningkatkan standard pendidikan, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.