KUALA LUMPUR – Negara akan berdepan dengan situasi musim kemarau dan kering yang panjang berdasarkan tinjauan cuaca pada ketika ini.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, oleh kerana itu kerajaan kini mempertingkatkan usaha pencegahan kegiatan pembakaran terbuka yang berpotensi mencetuskan jerebu di peringkat tempatan.
Malah katanya, kerajaan bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca panas dan kering itu menerusi mekanisme tertentu yang sudah dikenalpasti.
“Kerajaan sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 7 Januari lalu dan kita bersama dengan agensi pelaksana seperti bomba, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya,” katanya.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Masrizal berkata, kerajaan juga telab mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut sejak 6 Januari lalu.
Katanya, langkah mempertingkatkan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron atau teknologi terkini di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar juga turut dilakukan oleh agensi berkenaan.
Selain itu kata beliau, kerajaan turut mempertingkatkan penguatkuasaan kes pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah dan zon mudah terbakar dengan mengadakan operasi bersepadu bersama agensi kerajaan dan jabatan lain. – MalaysiaGazette