KUALA LUMPUR – Ekonomi Sabah dijangka terus merana jika Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terus berkuasa di negeri itu.
Ini kerana aktiviti perniagaan semakin menyusut dan pelaburan langsung asing juga berkurangan.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, perkara itu menjadi punca seramai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili setiap parti politik memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menyifatkan Juhar telah memberi nasihat yang salah, Musa berharap agar permohonan semakan itu dibenarkan oleh mahkamah.
Pembubaran DUN itu memberi laluan kepada pilihan raya awal, yang mana tarikhnya akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tidak lama lagi.
Musa menambah, adalah sungguh memalukan apabila Sabah merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terendah bagi dua tahun berturut-turut.
Prestasi Sabah itu juga lebih teruk jika dibandingkan negeri paling miskin di Malaysia.
”Laporan yang diterbitkan pada bulan Ogos 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan KDNK Sabah telah mencapai tahap terendah 0.5% pada tahun 2019, ini merupakan bukti bahawa Shafie Apdal yang memimpin parti Warisan telah gagal membangunkan negeri ini dan melindungi kesejahteraan rakyat.
”Pengangguran berada pada paras 5.8% (yang terburuk dalam 20 tahun terakhir), bermakna lebih dari 117,000 orang Sabah menjadi pengangguran dan bimbang ketika jumlah itu meningkat pada awal tahun ini.
”Ini membawa maksud ramai warga Sabah hilang pekerjaan, tidak menerima pendapatan dan bergelut dengan kehendak keluarga. Perkara ini tidak mudah untuk diterima,” kata Musa.
”Tambahan pula, penurunan yang mengejutkan dalam pertumbuhan KDNK di Sabah selama 2 tahun berturut-turut (1.5% pada tahun 2018 dan 0.5% pada tahun 2019) menunjukkan arah aliran yang akan datang.
“Oleh itu adalah memalukan apabila selama dua tahun berturut-turut Sabah dikenali sebagai negeri dengan kadar pertumbuhan KDNK terendah di seluruh Malaysia, paling rendah walaupun dibandingkan dengan negeri termiskin di negara ini,” tambahnya.
Oleh itu, Musa berkata, rakyat Sabah perlu bersatu dan bersama-sama dengan dalam misi ini untuk mengembalikan semula kedudukan Sabah pada hala tuju yang betul.
Beliau juga menyambut baik penyertaan Parti Cinta Sabah dalam politik negeri Sabah.
”Kita semua termasuk banyak pihak lain di luar sana mungkin mempunyai perbezaan pendapat tetapi kita semua perlu bersatu menyelamatkan dan melindungi Sabah daripada pentadbiran yang tidak kompeten dan menegakkan Perlembagaan Sabah,” katanya.
Dalam mengurus politik dan mentadbir sebuah kerajaan, adalah penting untuk menerima bakat baharu bagi menyeimbangkan pengalaman mereka yang mempunyai trek rekod.
Ini akan memastikan bahawa pemimpin muda dapat belajar dan memanfaatkan pengalaman daripada pemimpin terdahulu.
“Selepas memimpin Sabah selama empat kali pilihan raya dan menduduki kerusi pengerusi parti selama 15 tahun, kerajaan saya berjaya menstabilkan dan memacu ekonomi tempatan ke tahap baharu. Kami sebagai satu pasukan telah mengangkat martabat rakyat Sabah bukan sahaja di mata negara tetapi juga dunia,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Betul tu..kes rasuah RM1.5 billion Pie Bedal yg digugurkan oleh Tommy Thomas jgn lupa buka balik..mana mau lari?