KUALA LUMPUR – Sasaran baharu jualan barangan kraf untuk tahun ini ditetapkan pada RM200 juta.
Ia susulan kesan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara, sejak Januari lalu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, unjuran itu adalah yang terbaharu berbanding sasaran awal RM500 juta yang ditetapkan selepas mengambil kira beberapa petunjuk ekonomi dan perkembangan semasa pasaran.
“Tidak ketinggalan, maklum balas daripada orang ramai juga amat menggalakkan kerana mempercayai kualiti produk kita yang berjenama tinggi.
“Kita juga menjalin kerjasama dengan beberapa pihak lain dan usaha ini akan diteruskan demi memacu jualan kraf di Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan pembukaan semula rangkaian Karyaneka dan prapelancaran Mycraftshoppe, di Dewan Serbaguna Parlimen, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang dan Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ismail.
Berdasarkan perangkaan semasa, Nancy berkata, e-kraf bazar mempunyai keahlian seramai 12,176 orang dengan 1,122 usahawan kraf dan berjaya merekodkan nilai jualan RM4.21 juta.
“Hingga 31 Julai lalu, aplikasi CraftOnTheGo memuatkan seramai 923 profil usahawan kraf dan dimuat turun oleh pengguna sebanyak 1,389 kali,” ujarnya. – MalaysiaGazette