Home Nasional MBSA sedia bekerjasama dengan SPRM berhubung penahanan tiga penguatkuasanya

MBSA sedia bekerjasama dengan SPRM berhubung penahanan tiga penguatkuasanya

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedia bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan penahanan tiga anggota penguatkuasanya hari ini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam satu kenyataan menegaskan, pihak berkuasa tempatan itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangannya, yang didapati menyalahgunakan kuasa dan tidak berintegriti.

“MBSA juga menasihatkan kepada orang ramai supaya menyalurkan aduan, sekiranya ada maklumat berkaitan dengan salah laku kakitangan majlis bandaraya ini, dengan melaporkan secara e-mel kepada [email protected] atau menelefon 03-55105133 sambungan 1671,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, SPRM menahan tiga pegawai penguatkuasa MBSA, kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM300 sehingga RM3,500 secara bulanan, bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen, di sekitar Sungai Buloh.

Tiga suspek terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam berumur antara 41 hingga 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas mereka dipanggil untuk memberi keterangan pada 9 pagi tadi.

Pada Ahad, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia, serta dikongsi di akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh. – Bernama