BEIJING – Pihak berkuasa di China telah menemui koronavirus di atas permukaan bungkusan makanan laut sejuk beku yang tiba di pelabuhan Dalian.
Penemuan itu dipercayai menyumbang kepada peningkatan kes di China, menurut sebuah kerajaan tempatan.
Virus berkenaan ditemui di luar permukaan bungkusan makanan laut sejuk belu yang dibeli oleh tiga syarikat di Yantai, di timur wilayah Shangdong.
Kerajaan Yantai berkata, makanan laut itu tiba dalam penghantaran kapal yang mendarat di Dailan tetapi tidak menyebut di mana makanan tersebut diimport.
Pada bulan Julai, pegawai kastam di Dalian, sebuah pelabuhan utama di wilayah Liaoning menemui koronavirus dalam bungkusan udang beku yang diimport dari Ecuador.
Serentak itu, China menangguhkan import dari tiga pengeluar udang dari Ekuador.
Coronavirus pertama kali dikesan di pasar yang menjual makanan laut dan hidupan liar di bandar Wuhan di China pada lewat tahun lalu.
Sebilangan makanan laut yang dibeli oleh tiga syarikat Yantai telah diproses untuk dieksport, sementara selebihnya disimpan dalam simpanan sejuk dan belum memasuki pasaran, kata kerajaan Yantai.
Ketika ditanya adakah makanan laut yang diproses telah dieksport, unit tindak balas wabak koronavirus di Yantai enggan mengulas lanjut,
Pihak berkuasa telah menyita barangan tersebut, kata kerajaan.
Mereka yang mengendalikan barangan itu telah dikuarantinkan dan didapati negatif selepas ujian saringan Covid-19 dilakukan.
Wabak Covid-19 terbaru di bandar Dalian bermula pada akhir bulan Julai, dengan kes pertama adalah pekerja yang bekerja di sebuah syarikat pemprosesan makanan laut.
Dalian merekodkan 92 kes Covid-19 pada 9 Ogos lalu. – MalaysiaGazette