KUALA LUMPUR- Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang sengaja tidak menyerahkan Borang Pemberhentian Kerja (PK) ke Pejabat Tenaga Kerja dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum melakukan pemberhentian kerja atau pengurangan gaji.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Sravanan berkata, terdapat perbezaan ketara di antara Borang PK yang telah diterima oleh Pejabat Tenaga Kerja dengan borang Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diisi sendiri oleh pekerja yang telah diberhentikan.
Tegasnya, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955.
“Jumlah pekerja yang diberhentikan melalui data terimaan Borang PK dari Januari sehingga Julai adalah 44,426 orang pekerja tempatan dan angka ini adalah rendah berbanding jumlah pekerja yang telah mengisi borang SIP iaitu seramai 67,068 orang.
“Perbezaan seramai 22,642 orang bukan satu jumlah yang kecil tetapi amat ketara perbezaannya dan ini merupakan perkara yang tidak boleh dipandang remeh.
“Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia amat mengambil serius perkara ini dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan- peraturan di bawah Akta Kerja yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, Borang PK adalah data penting dalam mengenal pasti pekerja yang memerlukan bantuan dalam aspek pencarian dan pemadanan pekerjaan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.- MalaysiaGazette