Home Politik Bersatu masih lagi utuh bawah Muhyiddin – Shahni

Bersatu masih lagi utuh bawah Muhyiddin – Shahni

KUALA LUMPUR – Mungkin ada segelintir di luar sana menganggap gelombang keluar parti ahli serta wakil rakyat dalam kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti sudah sampai penghujungnya kepada parti berkenaan.

Namun itu bukan kebenarannya, ia mungkin ‘gimik’ keluar ramai-ramai pada satu waktu – seolah-olah sudah dirancang namun hakikatnya itu bukanlah kebenarannya.

Malah Bersatu ketika ini yang sedang diterajui oleh Perdana Menteri merangkap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya masih lagi kuat, kata Ketua Bahagian Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail.

Mohd Shahni yang juga calon Naib Presiden Bersatu pada pemilihan hujung bulan ini yakin, rata-rata akar umbi dalam Bersatu masih lagi kekal setia bukan sahaja kepada perjuangan parti sebaliknya setia kepada Muhyiddin.

“Pada saya ini adalah normal, yang berlaku dalam mana-mana parti politik bukan sahaja di sini sebaliknya seluruh pelusuk dunia. Tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan.

“Lagi-lagi menjelangnya pemilihan parti, anda boleh lihat segala macam drama untuk patahkan semangat, untuk gagalkan usaha, untuk robohkan satu padu antara satu sama lain, untuk hilangkan keyakinan terhadap pemimpin tertinggi dan segala bagai.

“Jadi, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Jika tidak berlaku, barulah mengejutkan. Pada saya, yang kekal bersama pada parti adalah golongan yang percaya kepada perjuangan asal parti. Golongan itu, insya allah tidak akan sesekali berbuat demikian.

“Percayalah cakap saya, ini semua sekejap sahaja. Seminggu dua terus diam, terus reda seperti tidak apa-apa yang berlaku. Jadinya, saya nasihatkan semua supaya kita jangan risau, jangan kaget ataupun patah semangat. Ini bukanlah realitinya.

“Semuanya akan reda tidak lama lagi, percayalah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung Mohd Shahni , golongan yang bertindak meninggalkan parti sambil memberikan pelbagai banyak alasan serta mengapa bertindak demikian sebenarnya jelas mempunyai agenda sendiri atau sebab lain pastinya bukan demi kepentingan perjuangan parti.

“Itu sangat pasti, apa sahaja alasan mereka itu bukanlah demi parti atau untuk perjuangan parti kononnya sudah lari dari landasan. Bersatu masih lagi mengutamakan perjuangan parti dari awal sehingga kini, tidak ada apa-apa perubahan.

“Jika seseorang atau kumpulan tertentu sudah mahu menjadi ‘pengacau’, pastinya segala macam alasan, tohmahan dan banyak lagi akan di canang kepada umum.

“Bak kata pepatah, ‘laksana enau dalam belukar’ yang bermaksud seseorang yang begitu mementingkan diri. Yang keluar ini rata-ratanya terdiri daripada tiga kelompok.

“Antaranya, mereka yang kecewa atau tewas dalam pemilihan bahagian, mereka yang taksub dengan individu tertentu tidak lupa golongan yang menjadi ‘pak turut’ kerana mengikut sahaja selain kurang maklumat dan tahu apa berlaku sekeliling mereka.

“Inilah golongan segelintir itu. Jadi tidak apalah. Jika kepentingan diri sendiri di letakkan terlebih dahulu sebelum parti, tidak apa untuk anda keluar. Parti ini masih lagi dan akan kekal utuh serta relevan dan kuat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shahni yang juga banyak memperjuangkan golongan B40 itu berkata, Bersatu semakin diminati bukan sahaja dalam kalangan yang ada kini sebaliknya juga kaum lain di negara ini.

“Sabah, Sarawak juga menunjukan minat mendalam dengan Bersatu jadi mana mungkin ianya jatuh. Kita relevan, lagi kita di pimpin oleh seorang pemimpin yang tidak cepat melatah mahupun banyak cakap sebaliknya lebih gemar bekerja secara diam.

“Tidak banyak berpolitik sebaliknya banyak masa digunakan untuk mengemudi parti, itu yang ahli-ahli hendak, itu juga kemahuan akar umbi. Fenomena keluar parti ini tidak langsung gangu gugat kami,” ujarnya.

Sejumlah pemimpin bahagian termasuk ketua dan ahli jawatankuasa parti mengumumkan keluar parti susulan pengumuman penubuhan parti baru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Ogos lalu. –MalaysiaGazette