Home Ekonomi Sukuk RM3 bilion TNB dapat sambutan pelabur

Sukuk RM3 bilion TNB dapat sambutan pelabur

Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menggunakan hasil daripada terbitan pertama nota kewangan jangka sederhana Islam RM3 bilion untuk tujuan am korporat, termasuk modal kerja dan perbelanjaan modal sukuk yang lain.

Sukuk itu diterbitkan di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion.

TNB berkata, terbitan sukuk ini terlebih langgan hampir 4 kali dengan permintaan pada jumlah keseluruhan langganan RM7.82 bilion diterima pada kemuncak proses rundingan daripada lebih 41 akaun melibatkan pengurus dana, firma insurans hayat, dana persaraan, bank dan syarikat korporat.

Dengan strategi rundingan yang cemerlang dan permintaan kukuh diterima ketika rundingan, tawaran telah ditingkatkan ke RM3 bilion.

Tawaran ini adalah terbitan yang mempunyai tempoh matang terpanjang selama 20 tahun yang diterbitkan oleh syarikat korporat tahun ini, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi pelabur untuk penawaran kredit yang berkualiti tinggi seperti TNB.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Berhad.

Mengulas mengenai kejayaan terbitan sukuk ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permintaan yang tinggi daripada pelabur adalah petanda jelas keyakinan pasaran modal terhadap TNB dan kelestarian jangka panjang perniagaan syarikat utiliti ini. – MalaysiaGazette