LONDON – Permintaan minyak dunia diramal akan jatuh lebih teruk pada tahun ini daripada yang diunjurkan disebabkan oleh koronavirus.
Selain itu, terdapat keraguan berhubung pemulihan pada tahun depan, berpotensi menyukarkan OPEC dan sekutunya untuk menyokong pasaran.
Permintaan minyak dunia dijangka turun sebanyak 9.06 juta tong sehari tahun ini, kata Pertubuhan Pengeksport-Pengeksport Petroleum dalam laporan bulanannya.
Unjuran itu lebih tinggi berbanding penurunan 8.95 juta tong sehari yang dibuat pada bulan lalu.
Harga minyak telah jatuh ketika sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh dunia bagi membendung penularan koronavirus.
Walaupun beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan bagi merangsangkan semula ekonomi, gelombang baharu wabak itu terus memberi tekanan ke atas harga minyak.
“Perkembangan harga minyak mentah dan produk pada separuh kedua tahun 2020 akan terus dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai gelombang jangkitan kedua dan stok global yang lebih tinggi,” kata OPEC dalam laporan itu.
“OPEC berpegang pada ramalannya bahawa permintaan minyak akan naik 7 juta tong sehari pada tahun depan tetapi mengatakan prospek tersebut bergantung kepada ketidakpastian besar dalam impak negatif terhadap penggunaan petroleum, seperti permintaan untuk perjalanan udara, kereta yang menggunakan bahan bakar yang lebih efisien dan lebih banyak persaingan bahan api lain.
“Hampir semua peramal menjangkakan bahan bakar pesawat akan bergelut dengan permintaan yang hidang pada tahun 2021,” kata OPEC. sambil menjangkakan permintaan petrol akan menghadapi tekanan untuk kembali ke paras tahun 2019.
Stok minyak telah meningkat kerana permintaan merosot.
OPEC mengatakan bahawa inventori di negara-negara maju meningkat pada bulan Jun menjadi 291.2 juta tong melepasi purata lima tahun.
Minyak mentah LCOcl meningkat di atas AS$ 45 setong pada hari Rabu, tetapi masih berada di bawah anggaran kebanyakan ahli OPEC.
Untuk mengatasi penurunan permintaan, OPEC dan sekutunya, yang dikenali sebagai OPEC +, bersetuju mengurangkan sebanyak 9.7 juta tong sehari yang bermula pada 1 Mei, sementara Amerika Syarikat dan negara-negara lain juga akan berbuat demikian.
Dalam laporan itu, OPEC mengatakan outputnya meningkat 980,000 tong sehari menjadi 23,17 juta tong sehari pada bulan Julai, sebahagian besarnya kerana Arab Saudi dan anggota Teluk lain menamatkan pengurangan sukarela yang telah dibuat pada bulan Jun. – MalaysiaGazette