SHANGHAI – Satu sampel kepak ayam sejuk beku yang dibawa masuk ke Shenzhen dari Brazil didapati positif Covid-19.
Susulan itu, pihak berkuasa kesihatan segera menjejaki dan melakukan ujian saringan kepada individu-individu yang mungkin tersentuh dengan makanan yang tercemar itu.
Namun, setakat ini tiada yang positif Covid-19.
Semalam, China melaporkan virus tersebut ditemui pada bungkusan makanan laut yang diimport dari Ecuador.
Sejak Julai lalu, beberapa bandar China lain termasuk pelabuhan Xiamen dan Dalian melaporkan beberapa kes koronavirus, mendorong China menghentikan import dari tiga pengeluar udang Ecuador.
China memulakan pemeriksaan intensif daging dan makanan laut di pelabuhan utama pada bulan Jun.
Novel koronavirus, yang menyebabkan Covid-19, dipercayai muncul di pasar makanan laut dan hidupan liar di bandar Wuhan di China tahun lalu.
Wabak itu juga dikaitkan dengan Xinfadi, sebuah pasar makanan borong di Beijing, dengan banyak kes melibatkan pekerja migran berpendapatan rendah dan di restoran berdekatan. – MalaysiaGazette