KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada seorang pun rakyat negara ini yang yang terkesan akibat tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, Lubnan minggu lalu.
“Maklumat terkini kita terima belum ada laporan ada mangsa negara kita terlibat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertayaan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta penjelasan kerajaan sama ada rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi tersebut dan meminta kerajaan menyatakan mengenai sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memberi bantuan kepada Lebanon selepas letupan bom di Beirut yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 kematian dan 4000 kecederaan.
Jelas Redzuan, menurut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sehingga 11 Ogos, jumlah yang terkorban adalah 160 orang, 5,000 mengalami kecederaan dan ribuan masih hilang.
Redzuan turut memaklumkan, pada Sabtu lalu, Putrajaya menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat Lubnan yang terjejas akibat tragedi letupan tersebut.
Sumbangan itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata bantuan itu disalurkan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).
Menjawab soalan Dr Kelvin Yii mengenai ketelusan sumbangan itu, beliau berkata kerajaan akan memantau bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan yang disasar.
“Kita amat peka kepada isu yang berlaku di Lubnan, kita ada pengalaman dalam memberi bantuan, tapi hari ini kementerian luar negeri berurusan terus dengan LRC, jadi kita akan dapat maklum balas ia betul-betul sampai atau tidak,ā€¯katanya.
Tragedi letupan di Lubnan dipercayai berpunca daripada kebakaran di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut yang dikatakan menyimpan bahan letupan. – MalaysiaGazette