Home Nasional Majlis Kemakmuran Bumiputera platform perkasa sosio-ekonomi Bumiputera – PM

Majlis Kemakmuran Bumiputera platform perkasa sosio-ekonomi Bumiputera – PM

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pembentukan budaya keusahawanan pada peringkat Bumiputera akan memberi lonjakan berganda kepada kaum itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pencapaian itu akan dapat dicapai melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang akan diangkat sebagai platform tertinggi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, budaya keusahawanan akan terus dipupuk secara bersepadu.

“Kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. Saya sendiri akan mempengerusikan majlis ini yang akan memandu dan mempercepatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Saya juga memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi agensi penyelaras utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya ketika menjawab persoalan sesi soal jawab oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Muhyiddin, usaha itu akan dilaksanakan melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Mara dan Tekun Nasional (Tekun) serta agensi mandat Bumiputera.

Mengulas lanjut, budaya ini harus dipupuk secara bersepadu menerusi peranan agensi-agensi terbabit demi meningkatkan lagi keupayaan Bumiputera.

“Lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan akan terus diperhebat khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera.

“Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan, serta bimbingan kepada modal insan Bumiputera akan diperluas kepada semua peringkat,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, beberapa kaedah lain yang akan turut dilaksanakan adalah dasar Carve Out & Compete, Penunjuk Prestasi Utama (KPI) atau sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap Kementerian, Jabatan, Agensi dan GLC serta perolehan ekuiti dan aset strategik juga akan dimantapkan. – MalaysiaGazette