TAHUN 2011 boleh dianggap tahun bonus dan rahmat buat pekebun kecil getah dan penoreh getah apabila harga getah sekerap yang dijual ketika itu amat tinggi, mencecah sekitar RM7 dan RM8 sekilogram. Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut melaporkan, pendapatan eskport getah negara tertinggi dicatatkan pada tahun 2011 iaitu sebanyak RM40.1 bilion apabila harga getah asli ketika itu mencatatkan purata tahunan tertinggi iaitu RM13.48 sekilogram. Mungkin dari negara mencapai kemerdekaan, inilah kali pertama para penoreh getah yang semestinya berada diluar bandar mempunyai pendapatan yang agak lumayan.
Tetapi ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari, sejak tahun 2012 harga komoditi getah mula mengalami ketidaktentuan, terus merudum di pasaran dan melalui zaman gelapnya sehingga ke saat ini. Para pekebun kecil dan penoreh getah terus bergelut dengan harga jualan getah yang rendah di tambah hasil getah sekerap yang tidak menentu akibat faktor musim hujan dan panas yang mempengaruhi kuantiti susu getah.
Pada minggu lalu, LGM mengumumkan pekebun kecil boleh menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi bulan Julai 2020 mulai 1 hingga 31 Ogos dengan bayaran IPG teraktif bagi Semenanjung ialah 70 sen, manakala Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak RM1.00 dan 90 sen untuk setiap kilogram. Inisiatif pembayaran IPG serba-sedikit memberi ‘duit lebih’ kepada pekebun kecil untuk menampung perbelanjaan harian mereka yang terjejas akibat impak kejatuhan harga getah di pasaran.
Sejak Januari 2019, IPG diaktifkan jika harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah. Harga semasa getah sekerap cawan di Semenanjung kini sekitar RM 1.80 sekilogram manakala di Sabah dan Sarawak pula lebih rendah iaitu masing-masing sekitar RM1.50 sekilogram dan RM1.60 sekilogram. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali juga meminta para pekebun kecil getah untuk menuntut bayaran IPG kerana kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi tujuan pembayaran insentif itu tahun ini.
Menurutnya, berdasarkan rekod kementerian terdapat hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan IPG yang melibatkan pembayaran berjumlah RM40 juta. Masih berbaki kira-kira RM60 juta lagi peruntukan subsidi IPG untuk tahun 2020 yang boleh dituntut pekebun kecil getah kerana satu kerugian jika tidak dimanfaatkan bantuan ini.
Harga jualan getah semasa boleh dianggap ‘melemaskan’ oleh pekebun kecil dan penoreh getah kerana pendapatan hasil jualan tidak selari dengan situasi harga barangan keperluan yang mahal di pasaran dan peningkatan kadar inflasi. Walaupun harga petrol ketika ini boleh dianggap murah walaupun ada turun naik setiap minggu, ia tidak memberi kesan pada tuntutan perbelanjaan kerana harga barangan tidak pernah turun-turun apabila sudah naik! Dengan situasi semasa ekonomi yang terjejas teruk kerana Covid-19, cuba bayangkan kesempitan yang perlu dihadapi pekebun kecil dan penoreh getah yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah B40?
Mereka ini sama seperti kita juga, punyai komitmen kewangan yang perlu dikeluarkan setiap masa misalnya untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak, rawatan kesihatan, bil utiliti, membeli keperluan dapur dan perbelanjaan lain-lain. Justeru usahlah kita memberi persepsi tidak selesa apabila Kerajaan memberi lebih perhatian dan bantuan kepada pekebun kecil dan penoreh getah kerana sememangnya bantuan kewangan berkala dan bersasar seperti IPG, Bantuan Musim Tengkujuh dan Bantuan Sara Hidup Penoreh Getah ini amat mereka harapkan.
Tidak dinafikan kemurungan ekonomi hari ini menyukarkan kerajaan memenuhi semua keperluan penoreh getah. Terdapat pelbagai faktor yang diluar kawalan kita untuk menstabilkan harga getah di pasaran seperti permintaan yang kurang dan perlahan, kesuraman ekonomi di Eropah dan Asia, naik turun harga minyak mentah dunia dan ketidakstabilan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, semuanya saling mempengaruhi.
Namun sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin dengan ‘periuk nasi’ rakyatnya, segala alternatif perlu diterokai segera untuk menstabilkan harga getah kepada harga yang lebih ‘menggembirakan’ penoreh getah. Pada waktu yang sama, bantuan kewangan dan subsidi perlu terus diberikan secara telus tanpa berlakunya elemen pembaziran dan ketirisan. Seruan penulis, berilah keutamaan kini kepada untung nasib para penoreh getah terlebih dahulu agar mereka tidak terus dibiarkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.