KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan untuk memansuhkan hukuman mati akan diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas meneliti laporan akhir kajian Jawatan Kuasa Khas, Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori baru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet dalam masa terdekat sebelum ia dimuktamad.
“Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan pada tahun 2019 untuk melaksanakan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam tempoh 4 bulan mulai 20 September 2019 hingga 31 Januari 2020.
“Jawatankuasa Khas telah selesai melaksanakan kajian berkaitan polisi penghukuman (sentencing policy) bagi menggantikan hukuman mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.
“Laporan Akhir Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori mengandungi syor-syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 21 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.
Ramkarpal juga ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes sekiranya kerajaan memansuhkan hukuman mati bagi jenayah itu.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, hasil dapatan kajian dijangka akan menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes.
“Selain itu, Jawatankuasa Khas turut mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada sistem keadilan di Malaysia untuk jangka masa panjang.
“Laporan kajian ini dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan,” katanya lagi.
Januari lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan sedang mengkaji pemansuhan hukuman mati mandatori dalam mana-mana akta yang memperuntukkan hukuman terbabit. – MalaysiaGazette