KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 15 kes positif baharu Covid-19 hari ini dengan 11 kes jangkitan tempatan dan empat kes import.
Sebanyak empat kes telah sembuh, dua masih dirawat di unit rawatan rapi namun tidak memerlukan alat bantuan pernafasan manakala tiada kematian direkodkan hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak tiga kes dilaporkan di Kuala Lumpur iaitu satu kes melibatkan rakyat Malaysia yang menjalani saringan pra-pembedahan, satu kes bukan warganegara Malaysia yang membuat saringan sebelum berlepas ke luar negara manakala satu kes import melibatkan pelajar Malaysia yang baru pulang dari Yaman.
Selangor turut mencatatkan tiga kes baharu yang mana ketiga-tiganya adalah pelajar yang pulang dari Indonesia manakala Kedah merekodkan sembilan kes baharu di bawah Kluster Tawar.
“Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi SOP kerana virus sudah berada di dalam komuniti kita,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambah Dr. Noor Hisham, tiada kes baharu dilaporkan dari 22 kluster yang masih aktif.
Menyentuh mengenai pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai, beliau memaklumkan, pelajar berkenaan adalah negatif Covid-19.
Ini setelah ujian makmal yang dijalankan terhadap pelajar berkenaan mengesahkan dia bebas daripada virus berkenaan.
Kontak-kontak rapat pelajar berkenaan juga disahkan bebas Covid-19, ujarnya lagi.
“Dia memang mempunyai gejala seperti cirit-birit dan demam tetapi apabila kita membuat ujian antibodi (IgM) untuk demam denggi, kita dapat pelajar berkenaan adalah positif demam denggi.
“Ujian RT-PCR di makmal pula mengesahkan dia bebas daripada Covid-19. Ujian telah dijalankan sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette