KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib esok diraikan dalam majlis perpisahan paluan berundur penuh istiadat di Padang Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini petang ini.
Majlis itu bermula sekitar jam 5 petang dengan ketibaan Mazlan, 60, yang telah berkhidmat 40 tahun sembilan bulan bersama Polis Diraja Malaysia.
Beliau hadir bersama isteri, Datin Farihah Mohd Zamri.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, isterinya Puan Sri Norazrin Marzuki, Pemangku Timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan isterinya Datin Seri Ir Zaiton Mohd Isa.
Kira-kira 2,000 tetamu kehormat, peserta perbarisan, para pegawai kanan dan warga PDRM hadir ke majlis tersebut.
Majlis bermula dengan pemeriksaan kawalan lintas hormat oleh Mazlan diikuti perarakan perbarisan pancaragam dan panji-panji beserta aset-aset PDRM.
Sebagai penghargaan sumbangan dalam PDRM, beliau kemudian memimpin pancaragam PDRM dengan lagu Haiwaii Five O sekaligus menerima tepukan gemuruh para hadiran majlis tersebut.
Sajak bertajuk Sang Saka Biru turut dideklamasikan khas untuk Mazlan dalam majlis serba meriah itu.
Di penghujung majlis Mazlan bersama isterinya menaiki kenderaan istiadat sebagai upacara paluan berundur serta tanda hormat kepada beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Mazlan menyertai PDRM sebagai Inspektor Percubaan di Pulapol Kuala Lumpur pada 4 November 1979.
Bekas graduan Undang-Undang dari Kolej Universiti Wales, United Kingdom mencurahkan segala ilmu yang diperolehinya untuk berjasa kepada PDRM khususnya dalam bidang penyiasatan dan perundangan.
Beliau kemudian menyandang beberapa jawatan penting dalam PDRM.
Antaranya Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Ketua JSJK Perak, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua JSJ Selangor, Timbalan JSJ Bukit Aman serta sebagai Ketua Polis Selangor, Melaka dan Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum diberi mandat menerajui jawatan kedua tertinggi PDRM bermula Mei 2019. – MalaysiaGazette