LONDON – Mesut Ozil meletakkan titik noktah bagiĀ pelbagai spekulasi mengenai masa depannya di Arsenal.
Bintang Antarabangsa Jerman itu mengesahkan akan kekal di Stadium Emirates sehingga kontraknya tamat Jun 2021.
Katanya, dia yang akan menentukan bila akan meninggalkan kelab the Gunners dan orang lain tidak perlu sibuk menentukan nasibnya bersama kelab England itu dengan pelbagai spekulasi tidak berasas.
Pemain berusia 31 tahun itu tidak beraksi sejak Liga Perdana Inggeris disambung semula Jun lepas.
Pengurus pasukannya Mikel Arteta berkata, prestasi buruk pemain itu menjadi punca dia tidak dibenarkan beraksi.
Ozil bagaimanapun menolak dakwaan akan meninggalkan kelab itu dalam masa terdekat ini.
“Saya akan kekal di Emirates sehingga hari terakhir kontrak pada Jun 2021.
“Segalanya bertambah buruk di sini tetapi saya akan terus kekal bersama the Gunners.
“Saya yang akan menentukannya bila saya perlu tinggalkan kelab ini…bukan pihak lain yang tiada kaitan langsung,” katanya.
Menurut Ozil dia tidak akan sesekali menyerah kalah dengan tekanan sebegini yang datang daripada pelbagai pihak.
“Saya akan memberikan segala yang saya miliki untuk kelab ini. situasi sebegini tidak boleh mematahkan semangat saya.. mereka sebaliknya menguatkan saya.
“Saya akan bangkit semula kepada prestasi asal,” ujarnya.
Ozil menyertai the Gunners dengan nilai 42.4 juta pound selepas meninggalkan Real Madrid tujuh tahun lalu dan disisihkan oleh bekas pengurusnya, Unai Emery.
Bagaimanapun di bawah pengurus baharunya, Arteta, dia telah beraksi dalam kesemua 10 perlawanan yang disambung selepas kawalan pergerakan Covid-19 di England.-MalaysiaGazette