Home Nasional PRK Slim: 500 polis bertugas esok

PRK Slim: 500 polis bertugas esok

police cartel EAIC senior judge sexual harassment police PDRM Brunei Investment Agency Ponzi scheme scam domestic violence abuse victim wild party Kajang police station OCS
Gambar Hiasan

TANJUNG MALIM – Lebih 500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya juga akan menutup sementara laluan masuk ke tempat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) di sini bermula pukul 6.30 pagi sehingga selesai proses penamaan calon bagi memastikan proses berjalan lancar.

Jelas beliau, penutupan itu membabitkan simpang masuk ke MDTM dari Jalan Persekutuan berhadapan Petronas Behrang 2020 dan laluan masuk ke MDTM melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana.

“Polis telah menetapkan laluan masuk ke pusat penamaan calon bagi BN adalah melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala bakal calon lain yang bertanding boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini hari ini.

Sulizmie menambah, dua sekatan jalan raya juga akan dibuat di Jalan Persekutuan di Kilometer 117 menghala Selatan dan Kilometer 121 arah Utara bagi mengelak sebarang aktiviti perarakan dan berkumpul oleh penyokong parti yang bertanding.

“Sepanjang proses penamaan calon esok, segala aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti adalah tidak dibenarkan di mana-mana tempat.

“Kita hanya membenarkan tiga orang sahaja iaitu calon, seorang pencadang dan seorang penyokong masuk ke pusat penamaan calon sebagaimana ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRK dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sekiranya berlaku keadaan tidak terkawal, kita tidak akan teragak-agak mengambil apa juga tindakan yang perlu untuk menyuraikan kumpulan ini menerusi pasukan-pasukan petugas yang ditempatkan termasuklah peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya.

Sulizmie Affendy turut mengingatkan kepada parti bertanding untuk mendapatkan kebenaran dan permit polis bagi sebarang aktiviti ceramah dan kempen pilihan raya ini.

“Hanya ceramah dan kempen secara bergerak menggunakan kenderaan sahaja yang memerlukan permit polis manakala kempen rumah ke rumah sekadar perlu mematuhi SOP ditetapkan dan mencatat rumah-rumah yang dikunjungi sebagai langkah awal pencegahan,” katanya yang turut memaklumkan bilik gerakan pilihan raya daerah dan kontinjen telah diaktifkan bermula 8 pagi hari ini sehingga berakhir hari pengundian nanti.

Daripada 23,094 pengundi berdaftar di DUN Slim, seramai 277 anggota polis akan terlibat pengundian awal yang dijadualkan 25 Ogos ini di IPD Muallim.

Sehingga hari ini, PRK DUN Slim dijangka melibatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili parti baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu. – MalaysiaGazette