KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia telah menunjukkan pemulihan pada bulan Jun sejajar dengan pembukaan dan pelaksaanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penguncupan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua ini telah dijangka memandangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan wabak Covid-19, sejak bulan Mac hingga Mei, yang telah mengekang aktiviti ekonomi negara.
Namun petunjuk jangka pendek telah menunjukkan kesan positif yang memberansangkan dan pemulihan telah pun bermula sejak ekonomi dibuka.
Ia termasuk eksport negara berkembang 8.8% dari tahun-ke-tahun pada bulan Jun 2020, peningkatan dari -25.5% yang dicatat pada bulan Mei; Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada bulan Jun 2020 (-0.4% tahun-ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun) dan nilai jualan runcit dan borong meningkat sebanyak 21.8% pada bulan Jun berbanding bulan sebelumnya.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada bulan Jun 2020 (-0.4% tahun-ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun);
Malah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan di Malaysia meningkat dari nilai terendah pada tahun ini iaitu 31.3 pada bulan April kepada 50.0 ke atas pada bulan Jun dan Julai, menunjukkan bahawa sektor pembuatan telah beralih dari tempoh penguncupan akibat pelaksanaan PKP.
Perbelanjaan pengguna juga telah pulih dengan penjualan kereta penumpang mencatat kenaikan 6.1% tahun-ke-tahun bagi pada bulan Jun 2020; Sentimen pengguna juga telah jelas pulih, dibuktikan oleh peningkatan mendadak dalam perbelanjaan kad kredit kepada RM10.7 bilion pada bulan Jun, berbanding RM6.5 bilion pada bulan April 2020; pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus meningkat pada kadar 3.7% setahun. Pertumbuhan pinjaman perniagaan sedia ada meningkat dari 3.4% pada suku pertama 2020 kepada 3.9% pada suku kedua 2020.
Tengku Zafrul berkata, keputusan Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Polisi Semalaman kepada kadar semasa sebanyak 1.75% jelas sekali menyumbang kepada persekitaran pembiayaan yang lebih baik; dan kadar pengangguran negara pada Jun 2020 telah bertambah baik kepada
4.9% berbanding 5.3% pada bulan Mei.
Pakej ransangan PRIHATIN dan PENJANA, yang telah menyelamatkan lebih daripada 2.8 juta pekerjaan (di bawah program Subsidi Upah dan Pengekalan Pekerjaan) jelas sekali menyumbang kepada penambahbaikan kadar pengangguran.
Bergerak ke hadapan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan meningkat secara beransur pada separuh kedua 2020. BNM telah membuat unjuran semula
pertumbuhan KDNK pada tahun ini diantara -5.5% ke -3.5%.
Pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dijangka akan menyumbang lebih daripada 3% kepada pertumbuhan KDNK pada tahun 2020.
Bagi tahun 2021, pertumbuhan ekonomi dijangka akan berada di paras 5.5% ke 8.0%.
Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan pada nilai purata 6.3%, manakala Bank Dunia menjangka pertumbuhan sebanyak 6.9% untuk tahun hadapan.
Selain itu, asas sistem kewangan Malaysia masih kukuh berbanding ketika tempoh Krisis Kewangan Global pada tahun 2008 – 2009, yang mana sistem perbankan menghadapi situasi yang mencabar ini dari kedudukan yang lebih kuat.
Penampan modal sistem perbankan yang berjumlah sebanyak RM121 bilion adalah lebih daripada tiga kali ganda berbanding tahap semasa Krisis Kewangan Global.
Di tambah dengan kecairan yang mencukupi, kualiti aset yang kukuh dan kerangka pengurusan risiko yang mantap, sistem perbankan dijangka terus menyokong aktiviti pinjaman dan ekonomi secara keseluruhan. – MalaysiaGazette