Home Ekonomi MITI siasat import gulungan rata keluli bukan aloi disadur dari 3 negara

MITI siasat import gulungan rata keluli bukan aloi disadur dari 3 negara

MIT

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mendapati terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan import produk gulungan rata keluli bukan aloi disadur atau disalut aluminium dan zink yang berasal atau dieksport dari China, Korea dan Vietnam mengikut peruntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993.

Berikutan itu, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, duti anti-lambakan sementara di antara 2.17% hingga 37.14% akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dan ianya akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 14 Ogos 2020.

Penyiasatan ini telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan AntiLambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 pada 17 Mac 2020 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh NS Bluescope (Malaysia) Sdn. Bhd. (Pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau di eksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Malah, pempetisyen mendakwa keadaan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 11 Disember 2020 dan pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuanpersatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di alamat berikut:
Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette