Home Seni Hidup Mesyuarat Jemaah Menteri norma baharu, penghadang lutsinar jadi pemisah

Mesyuarat Jemaah Menteri norma baharu, penghadang lutsinar jadi pemisah

Kabinet Muhyiddin berjaya tangani krisis perlembagaan.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri pagi ini berlangsung dalam suasana ‘norma baharu’ apabila kedudukan di antara anggota kabinet dipisahkan dengan penghadang lutsinar.

Menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah itu bertujuan mengekalkan penjarakan fizikal bagi mewujudkan jarak pemisah antara ahli mesyuarat dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

“Mesyuarat hari ini juga kali pertama semua ahli Jemaah Menteri dapat berkumpul dan bermesyuarat secara bersemuka di dalam bilik mesyuarat yang sama,” menurut kenyataan itu, yang turut disertakan dengan empat keping gambar bagi menunjukkan suasana mesyuarat berlangsung.

Empat menteri kanan turut dilihat menghadiri mesyuarat itu iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan mengekalkan jarak fizikal, mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini dilangsungkan di tiga lokasi berbeza di Bangunan Perdana Putra.- BERNAMA