Home Akhbar Cina Kemelut UMNO, Bersatu di Sabah sukar diselesaikan

Kemelut UMNO, Bersatu di Sabah sukar diselesaikan

Foto hiasan

KOTA KINABALU – Parti-parti politik Sabah giat mengumumkan sasaran kerusi mereka dalam pilihan raya negeri akan datang dan perebutan telah berlaku khususnya antara UMNO dan Bersatu, walaupun mereka berada di dalam kem yang sama.

Barisan Nasional (BN) Sabah telah mengumumkan mahu bertanding di kesemua 73 kerusi dengan UMNO berhasrat menamakan calon di lebih separuh daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan.

Bersatu pula mengumumkan mahu bertarung di 45 kerusi, keadaan yang bermakna masing-masing UMNO dan Bersatu berebut menjadi “abang besar” di Sabah.

Mengeruhkan keadaan, terdapat lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini merupakan anggota UMNO telah beralih ke Bersatu selepas pilihan raya negeri lalu.

Selain itu, “kem Azmin” juga mahu mencuba nasib dan berharap dapat bertanding menggunakan panji Bersatu.

Sinchew Daily melaporkan, pengumuman Bersatu mahu bertanding di 45 kerusi iaitu di hampir semua kawasan dengan majoriti pengundi bumiputera Islam telah menimbulkan rasa tidak puas hati UMNO.

UMNO bertegas mahu bertanding di sekurang-kurangnya 35 kerusi manakala 10 kerusi boleh diserahkan kepada Bersatu.

Sumber Bersatu berkata, parti itu meletakkan “bottom line” untuk bertanding sekurang-kurangnya 25 kerusi dan sanggup menyerah 20 kerusi kepada UMNO.

Sumber UMNO Sabah pula mengakui bahawa kemelut antaranya dengan Bersatu Sabah sukar diselesaikan dan akhirnya mungkin diserah kepada pusat untuk berunding.

Selain kemelut UMNO-Bersatu, dua parti itu juga perlu berunding dengan parti seangkatan lain termasuk PBS yang mahu bertanding di 30 kerusi.

PBS juga mungkin perlu menyerahkan sesetengah kawasan tumpuan pengundi Cina kepada MCA.

Dalam pilihan raya negeri lalu, UMNO bertanding di 32 kerusi daripada 60 yang ada dan berjaya memenangi 17 kerusi. PBS yang berada dalam BN pada masa itu pula bertanding di 13 kerusi dan memenangi enam kerusi. – MalaysiaGazette