KUALA LUMPUR- Majlis Pimpinan Tinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) telah bersetuju menyertai Muafakat Malaysia yang disertai UMNO dan Pas sebagai sebuah gabungan besar.
Menurut Pemangku Pengerusi dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penyertaaan parti tersebut dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.
“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita.
“InsyaAllah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya semasa melancarkan Persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian 2020 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi beliau.
Menurut Muhyiddin, untuk bergerak ke hadapan, hubungan PPBM dengan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional di peringkat akar umbi perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa meskipun prosesnya akan mengambil sedikit masa.
“Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.
“Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti UMNO, Pas, MCA, MIC, GPS, PBS, STAR dan PBRS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
“Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan BERSATU dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Tambah beliau, dari segi dalaman parti pula, PPBM telah berjaya mengumpul lebih 420,000 ajli di seluruh negara.
Ia juga telah menubuhkan 197 bahagian dan 2,950 vawangan yang berdaftar.- MalaysiaGazette