LISBON – Gerard Pique menuntut rombakan besar dilakukan ke atas Barcelona selepas kelab itu dimalukan dengan kekalahan 2-8 di tangan Bayern Munich pasa aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Perancang tengah berusia 33 tahun itu berkata, dia sedia menjadi pemain pertama meninggalkan kelab La Liga itu sekiranya pengurusan tertinggi di Nou Camp membuat keputusan yang boleh menjamin masa depan kelab.
Pique telah memenangi 20 gelaran utama bersama the Catalans sejak 12 tahun lalu.
Kekalahan awal pagi tadi disifatkan sebagai keputusan terburuk dalam sejarah kelab itu di peringkat Eropah, sekaligus mengakhiri kempen lebih awal selepas dikecewakan Real Madrid yang merangkul gelaran La Liga musim ini.
“Kekalahan ini bukan berlaku kali pertama, kedua atau ketiga, malahan kita di ambang kejatuhan dan tidak berada dalam landasan yang betul.
“Kesemua pihak dalam kelab perlu duduk bersama dan memikirkan apa yang terbaik untuk pasukan.
“Memang sukar untuk menerima keputusan memalukan itu namun saya berharap ia akan menjadi pencetus untuk pembaharuan menyeluruh selepas ini,” katanya.
Menurutnya, kelab itu memerlukan perubahan drastik pada kadar segera.
“Kita mesti membawa pemain darah baharu yang bersifat lebih dinamik dan jika perlu saya bersedia jadi orang pertama meninggalkan kelab ini demi transformasi itu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Barcelona, Quique Setien kini berada dalam keadaan tertekan selepas mengharungi musim hambar.
Mengulas mengenai masa depan kelab dan komen Pique, Setien berkata, dia tidak mahu menyentuh mengenai keperluan kelab dan pandangan pemain itu.
“Jika benar kelab ini memerlukan rombakan besar seperti dikatakan Pique, kita perlu ambil serius seruan itu.
“Tiba masanya kita menilai semula dan mengambil keputusan demi masa depan kelab ini.
“Namun masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai soal sama ada saya akan kekal atau meninggalkan kelab ini.
“Realitinya ia tidak bergantung kepada saya, sebaliknya adalah penting untuk semua pihak berganding bahu bangkit dari kesakitan ini dengan misi dan azam baharu,” ujarnya. -MalaysiaGazette