KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya ‘perjanjian damai’ Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam kenyataannya di sini, ABIM berkata, perjanjian itu sebagai satu tamparan hebat ke atas seluruh umat Islam, apabila Abu Dhabi mengiktiraf Israel dan seterusnya akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.
ABIM juga menegaskan perjanjian ini membelakangkan sentimen dan harapan masyarakat antarabangsa untuk melihat hak Palestin menjadi sebuah
negara merdeka di tanah yang dijajah rejim Zionis tercapai.
”ABIM menekankan bahawa perjanjian yang mendapat restu dan sokongan kuat Trump – yang bertanggungjawab mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya menaja ‘Deal of the Century’; sebagai satu pengkhianatan besar,” kata Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Sesungguhnya, ABIM konsisten berpegang teguh kepada penubuhan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara.
Oleh itu, ABIM mendesak kepada semua negara untuk bertindak atas kepentingan kemanusiaan serta kesedaran, berbandng kepentingan ekonomi dan perdagangan dengan pihak Washington semata-mata.
ABIM juga menyeru masyarakat antarabangsa serta semua pihak yang cintakan keamanan; untuk melipat gandakan usaha serta kempen bagi memboikot pihak
rejim Zionis. – MalaysiaGazette