Home Seni Hidup Penyelidik temui fosil tapak kaki dinosaur berusia lebih 60 juta tahun di...

Penyelidik temui fosil tapak kaki dinosaur berusia lebih 60 juta tahun di Tanah Merah

Penyelidik Fakuti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan yang mengetuai eksplorasi Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, aktiviti penyelidikan yang bermula pada Mei 2017 itu berjaya menemukan fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari subkumpulan Sauropod. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU – Pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemukan kesan tapak kaki dinosaur dipercayai daripada kumpulan spesies Sauropod berusia 145,000 tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah.

Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian eksplorasi geosains pasukan penyelidik UMK yang diketuai pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar, Surono Martosuwito, Udi Hartono dan dibantu oleh Mohd Syakir Sulaiman.

Arham Muchtar berkata, aktiviti dan penyelidikan itu bermula pada Mei 2017 dan berjaya menemukan fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari subkumpulan Sauropod.

“Lanjutan daripada penemuan itu, kami menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk “The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan, (Jejak Dinosaur Saurapod dari Tanah Merah, Kelantan) sempena penganjuran “Conference on Tropical Resources and Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0” (Persidangan Sumber Tropika dan Sains Lestari 2.0) secara dalam talian pada 10 dan 11 Ogos lalu.

“Penemuan ini membuktikan bahawa suatu masa dahulu, dijangka antara 66 hingga 160 juta tahun yang lepas, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arham Muchtar berkata, penemuan itu juga merupakan antara penemuan hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang dilaksanakan di Kelantan.

Beliau berkata, penemuan itu membabitkan 7 tapak kaki fosil spesies Sauropod berukuran purata 72 sentimeter (sm) panjang dan lebar dengan purata 66sm yang tercetak di atas batu pasir kuarsa dari formasi panau seluas 60 meter persegi.

“Fosil Sauropod yang ditemukan itu berusia antara 65 hingga 160 juta tahun, iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal dan adalah sejenis reptilia berkaki 4 daripada spesies herbivor, iaitu hidupan yang memakan tumbuh-tumbuhan.

“Berdasarkan bukti tapak kaki haiwan ini dahulu memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi 9 meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan.

“Spesies dinosaur ini juga dikenali sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi ini,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan ini amat bermakna bagi UMK, terutamanya dengan penubuhan Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi yang menjalankan penyelidikan ke atas hidupan dinosaur ini.

“Para penyelidik menghabiskan masa lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak dinosaur di Kelantan dan kesan trek yang dijumpai turut mendapat pengesahan daripada pakar dinosaur dunia yang berasal dari Jepun.

“Kewujudan dinosaur di Bukit Panau ini juga sudah dijangka oleh banyak ahli geologi berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan dengan beberapa kawasan di selatan Thailand yang turut mengandungi fosil dinosaur,” katanya.

Beliau berharap dalam masa terdekat semua pihak dapat memberi kerjasama yang positif bagi meneruskan kajian dan percaya masih ada beberapa lagi jenis fosil dinosaur yang tersimpan dalam batuan di Bukit Panau.- BERNAMA