Home Politik PRK Slim: Saya sudah ‘berlari-lari anak’ – Amir

PRK Slim: Saya sudah ‘berlari-lari anak’ – Amir

Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (kanan) berbual mesra dengan sebahagian penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di sekitar Felda Trolak Selatan, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi memberitahu beliau sekarang sudah ‘berlari-lari anak’ walaupun tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru bermula tidak sampai 24 jam.

Amir yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang penting ketika ini momentum dan semangat bersama jenteranya dapat dikekal sehingga hari pengundian.

Jelas beliau, cara berkempennya akan mengikut fasa dan tidak mahu terlalu ke depan apabila terus berlari.

“Hari kedua kempen tidak sampai 24 jam, kita bukan berjalan lagi tapi berlari anak. Marathon tidak boleh lari lagi kena ikut pace tapi momentum dan semangat yang ada dapat dikekalkannya.

“Lagipun sambutan masyarakat di sini amat baik dan mereka sangat mesra,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan walkout di Pasar Trolak Selatan di sini hari ini.

Pada PRK DUN Slim, Amir akan berdepan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran.

Mengulas lanjut, Amir berkata, walaupun baru sahaja berkempen, beliau telah menerima banyak aduan yang menimpa masyarakat setempat.

Jelas beliau, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang tidak digunapakai dan selenggara dengan baik.

“Saya jumpa orang sini dapat tahu aduan yang terima dan ada aduan seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang tidak diselenggara dengan baik dan guna pakai, begitu juga dengan bengkel.

“Itu antara isu yang dimaklumkan selain penempatan mereka yang tidak baik. Sebenarnya pengundi di Trolak ini banyak aduan yang mereka hendak buat tetapi sampai kepada pihak berwajib,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Allahyarham merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU-14, Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette