KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak wajar menghalang badan bukan kerajaan (NGO) menjadi saluran yang digunakan masyarakat setempat untuk menyampaikan masalah.
Sebaliknya PBT sepatutnya menggunakan NGO sebagai ‘mata dan telinga’ agar dapat mengelakkan masalah sukar ditangani.
Tidak menafikan peranan NGO sebaliknya Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nor Hizwan Ahmad berkata peranan NGO perlu dihargai sekaligus akan dapat memperbaiki imej PBT di mata masyarakat.
“Sebab itu kita sangat menghargai peranan NGO. PBT perlu mengambil kesempatan kepada NGO sebagai mata dan telinga sebab mereka kebanyakan bergaul dengan masyarakat,” katanya.
Beliau terdahulu mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Usahawan Islam Malaysia di Ukay Perdana Ampang hari ini bagi membincangkan tentang peranan PBT dan NGO dalam memastikan masalah setempat dalam diselesaikan dan tidak terlepas pandang.
Jelas Nor Hizwan, NGO juga sebahagian daripada komuniti yang menjadi pendengar dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
Tanpa mereka, katanya, PBT tidak akan dapat menerima maklumat dengan cepat.
Justeru perlakuan menyekat suara NGO disifatkannya sebagai tindakan tidak matang.
“Sepatutnya semua pihak perlu bekerjasama. Kalau ada yang menyekat kuasa atau suara ianya tindakan tidak matang. Kesinambungan kerjasama sepatutnya ada,” tambah beliau. -MalaysiaGazette