
KUALA LUMPUR – UMNO Sabah mahu satu dasar baharu iaitu “Satu Negara, Satu Harga” dilaksanakan di Malaysia supaya tidak wujud diskriminasi ekonomi terutama di negeri itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Sabah selalu tertanya-tanya kenapa kebanyakan harga barangan di Sabah lebih tinggi daripada Semenanjung dan alasan yang selalu diberikan ialah kerana kos penghantaran barangan menjadikannya mahal.
Namun, yang peliknya, Abdul Rahman berkata, teori ekonomi itu langsung tidak terpakai di Semenanjung kerana semua negeri di Semenanjung mempunyai harga yang sama kerana kebanyakan perusahaan dan perniagaan di Semenanjung.
Tetapi terdapat dua senarai harga iaitu harga Semenanjung dan harga Sabah dan Sarawak yang lebih mahal daripada harga Semenanjung, contohnya harga Proton Saga.
”Kalaulah kos penghantaran menjadi alasan, kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan harga Proton Saga di Selangor di mana kilang Proton berada?
“Bukankah semua kereta Proton yang dijual di Kelantan juga melibatkan kos penghantaran dari Selangor ke Kelantan?
”Sepatutnya pembeli Proton Saga di Kelantan membayar harga yang lebih tinggi dibandingkan dengan pembeli Proton Saga di Selangor kerana kos penghantaran kereta tersebut dari Selangor ke Kelantan.
”Persoalannya kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan harga Proton Saga di Selangor? Dan kenapa pula harga Proton Saga di Sabah lebih mahal dari Proton Saga di Selangor?,” soal beliau.
Sedangkan, katanya, perbezaan harga itu berlaku kerana diskriminasi ekonomi.
”Kenapa perlu membeza-bezakan wilayah di Malaysia ini? Kalau harga di negeri-negeri di Semenanjung tidak dibezakan walaupun ada kos, harga di Sabah dan Sarawak juga tidak patut dibezakan.
”Pada saya kalau pun ada negeri yang patut diberikan keutamaan harga rendah, negeri Sabah dan Sarawak jauh lebih layak dari negeri-negeri di Semenanjung. Sudahlan penduduk di Sabah dan Sarawak lebih miskin berbanding dengan penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula adalah penyumbang utama pendapatan minyak negara. Nampak tidak diskriminasi dan ketidakadilan ekonomi yang berlaku di depan mata kita?” soalnya.
Tambah Abdul Rahman, jika dasar ”Satu Negara, Satu Harga” memerlukan penggubalan undang-undang atau peraturan baru bagi memastikan semua pengilang mematuhinya, maka UMNO Sabah mendesak agar undang-undang atau peraturan baru tersebut digubal segera.
Perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mencadangkan agar dasar “Satu Negara, Satu Harga” ini dimasukkan ke dalam cadangan otonomi Sabah.
”Alhamdulillah, Presiden UMNO memahami aspirasi rakyat Sabah. Tuntutan melaksanakan “Dasar Satu Negara, Satu Harga” juga akan dimasukkan dalam manifesto UMNO Sabah dalam pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette