Home Dunia Pilihan Raya NZ ditunda pada 17 Oktober depan

Pilihan Raya NZ ditunda pada 17 Oktober depan

Jacinda Ardern Perdana Menteri New Zealand.- foto Agensi

WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum pada 17 Oktober depan kerana negara itu masih menangani penularan wabak koronavirus.

“Pada akhirnya, 17 Oktober … waktu yang cukup baik bagi parti untuk merancang jika ada kempen,” katanya pada sidang media.

Sepatutnya, pilihan raya negara itu dijadualkan diadakan pada 19 September.

Tekanan meningkat pada Ardern untuk menangguhkan pilihan raya susulan lonjakan kes Covid-19 di Auckland, setelah negara itu bebas dari kes koronavirus selama 102 hari.

Timbalan Perdana Menterinya, Winston Peters meminta pilihan raya ditangguhkan.

Parti pembangkang utama, Parti Nasional juga mahu pilihan raya berkenaan dilewatkan setelah mereka terpaksa membatalkan acara kempen kerana sekatan pergerakan akibat wabak tersebut.

Bagaimanapun, parti itu menuduh Ardern menggunakan krisis tersebut untuk mendapatkan sokongan.

Ardern berkata, beliau sudah meminta tarikh baharu pilihan raya, sambil menambah beliau tidak berhasrat untuk mengubahnya.

“Kita berada dalam situasi sama. Kita semua berkempen dalam keadaan yang sama,” ujarnya.

Undang-undang New Zealand menetapkan pilihan raya diadakan sebelum 21 November ini. – MalaysiaGazette