SLIM RIVER – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim terus panas dan sibuk sebaik hari penamaan calon pada Sabtu lalu.
Apa tidaknya, sebaik nama calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Barisan Nasional (BN) terus memecut ke hadapan.
Bermula dengan Pelancaran Jentera Pemuda BN Perak, Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi ucapan yang berapi, sekali gus membangkitkan semangat penyokong parti itu.
Turut hadir, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada majlis yang dikejutkan dengan insiden ‘boo’ kepada wakil Armada iaitu sayap pemuda Bersatu.
Tidak berakhir di situ, kemunculan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menambahkan kehangatan apabila turun bersama calon BN, Mohd. Zaidi Aziz ke Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Malah ceramah Najib yang popular dengan gelaran Bossku terus bergema pada malam harinya apabila hadir bersama warga Felda di Trolak Selatan.
Walaupun kehadiran orang ramai dihadkan kerana mematuhi prosuder operasi standard (SOP) masyarakat setempat tetap hadir apabila sanggup berdiri di sekeliling dewan.
Menambah kemeriahan, turut diadakan pasar malam yang turut menjual t-shirt dan tanjak bertemakan Muafakat Nasional.
Semalam, seawal pagi, Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob hadir bersama Mohd. Aziz pada majlis Santai Melukis Mural di Pasar Slim River
Tidak ketinggalan, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang muncul pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat dan Warga Felda Trolak Selatan di Dewan Semai Bakti, Felda Trolak Selatan.
Sebelum itu, Hishammuddin yang juga Menteri Luar melapangkan masa dengan menyertai aktiviti memancing.
Turut menunjukkan wajah semalam adalah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang hadir makan tengahari bersama Jentera Ziarah Kasih di PDM Felda Besout 2 di Trolak
Sementara calon Bebas yang menjadi wakil Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi turut tidak mahu kalah apabila beliau dibantu berkempen oleh pemimpin parti yang belum berdaftar.
Amir jelas mendapat semangat apabila dapat berkempen bersama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas pemimpin Bersatu yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Bagi seorang lagi calon Bebas, S. Santhasekaran, beliau lebih selesa berkempen sendiri dengan bertemu pengundi secara bersemuka.
Umumnya, tidak banyak isu baru setakat ini di Slim.
Malah kemungkinan besar tidak akan ada isu baru sepanjang tempoh tiga hari akan datang.
Pihak media melihat kempen fasa pertama adalah lebih rancak walaupun baru dua hari berkempen. BN sudah tentu mengharapkan kemenangan besar.
BN jelas mahu membuktikan PRK ini sebagai isyarat kepada hubungan kuat dalam Muafakat Nasional dan juga Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
Yang pasti, BN tidak menunggu lama untuk bermula pantas dengan gear satu tidak sampai 48 jam hari kemepen di Slim. – MalaysiaGazette