SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional, Mohd. Zaidi Aziz menyifatkan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini telah memberi hikmah kepadanya yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, ini kerana cara beliau berkempen telah berubah bagi mematuhi prosuder operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Namun jelas usahawan itu, beliau kini semakin selesa pergi ke rumah dan bersemuka secara terus bagi meraih simpati pengundi.
“Pada mulanya ada kekangan untuk berkumpul bersama orang ramai kerana ada penjarakan fizikal, namun apabila berkempen secara terus ke rumah, saya dapat mengetahui masalah mereka secara dekat.
“Kempen secara bersemuka ini lebih ikhlas kerana saya juga dapat berjumpa pengundi di akar umbi dan pandemik Covid-19 ini ada hikmahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi walkabout di Kampung Pekan Trolak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi memberitahu, pemakaian pelitup muka bukan satu masalah untuk masyarakat mengenali wajahnya.
Jelasnya, pelitup itu akan dibuka buat sementara waktu ketika memperkenalkan diri dan meraih undi sebelum memakainya semula bagi mematuhi SOP.
PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.
Allahyaram merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.
Pada PRU14, Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.
Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.
Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette